WhatsApp perkenal ciri penjadualan mesej secara berperingkat

MENLO PARK: WhatsApp mula memperkenalkan ciri penjadualan penghantaran mesej kepada pengguna di seluruh dunia secara berperingkat dalam beberapa minggu akan datang, lapor Amanz.
Ciri baharu itu membolehkan pengguna menetapkan masa penghantaran antara 10 minit hingga 14 hari lebih awal. Mesej akan dihantar secara automatik pada waktu yang dipilih, termasuk ketika peranti pengguna berada di luar talian, dimatikan atau kehabisan bateri.
Menurut WhatsApp, ciri itu dilindungi penyulitan hujung ke hujung dan boleh digunakan untuk menghantar teks, foto serta video. Ia menyokong perbualan individu dan kumpulan.
Untuk menjadualkan mesej, pengguna perlu menaipnya seperti biasa sebelum menekan dan menahan butang hantar. Antara muka untuk memilih tarikh dan masa penghantaran akan dipaparkan, membolehkan pengguna menetapkan jadual mengikut keperluan.
Pengguna juga boleh menyemak atau memadam mesej berjadual sebelum mesej itu dihantar. Bagi penerima, mesej berkenaan akan dipaparkan seperti mesej biasa tanpa petunjuk bahawa ia telah dijadualkan lebih awal.
WhatsApp menyarankan pengguna mengemas kini aplikasi kepada versi terkini untuk menikmati ciri itu sebaik sahaja ia diaktifkan pada akaun masing-masing secara berperingkat.