Wanita hamil larikan diri selepas rampas kenderaan pengiring di New Mexico

ALBUQUERQUE: Rebecca Taylor, 26, yang sedang menjalani hukuman penjara di New Mexico, Amerika Syarikat (AS), melarikan diri pada Rabu selepas merampas kenderaan pengiring ketika dalam perjalanan pulang daripada temu janji pemeriksaan pranatal.
Jabatan Penjara New Mexico berkata Taylor mengambil alih sebuah kenderaan Dodge Journey yang membawanya bersama seorang lagi banduan. Menurut laporan media tempatan yang dipetik BBC, kejadian berlaku selepas pasukan pengiring berhenti untuk membeli makanan di Albuquerque.
Banduan seorang lagi dilaporkan sempat keluar dari kenderaan sebelum Taylor memecut meninggalkan lokasi. Jabatan itu memaklumkan kenderaan berkenaan dan pakaian seragam penjara yang dipakai Taylor sudah ditemui, namun wanita itu masih belum diberkas.
Jurucakap jabatan, Brittany Roembach, berkata Taylor tidak digari atau diikat semasa dibawa kerana berada dalam trimester kedua kehamilan. Seorang pegawai berada berhampiran kenderaan ketika kejadian, tetapi tidak berada di dalamnya.
Taylor sebelum ini dipenjarakan atas beberapa kes kecurian dan pecah masuk. Selepas dia melarikan diri, semua penjara di New Mexico dikenakan perintah kawalan ketat sebagai langkah berjaga-jaga. Perintah itu ditamatkan pada pagi Khamis.
Penjara Western New Mexico, tempat Taylor ditahan, bagaimanapun masih mengehadkan pergerakan dan tidak membenarkan lawatan. Pihak berkuasa melancarkan operasi memburunya dengan penglibatan beberapa agensi.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri Taylor sekiranya terlihat, sebaliknya segera menghubungi polis.