Beggs, De Oliveira terima Anugerah Fair Play selepas bantu pelari di Boston

BOSTON: Pelari Ireland Utara, Aaron Beggs, dan Robson De Oliveira menerima Anugerah Fair Play Antarabangsa selepas membantu Ajay Haridasse menamatkan Maraton Boston, April lalu.
Beggs dan De Oliveira menemui Haridasse yang bergelut untuk berdiri sebelum merangkulnya dan membantu pelari itu melalui laluan lurus menuju garisan penamat. Rakaman kejadian itu, yang dirakam penonton dan dimuat naik ke media sosial, menarik perhatian dunia.
Beggs berkata beliau tidak menyangka mereka akan memenangi anugerah itu selepas mengetahui mengenai pencalonan, apatah lagi bersaing dengan atlet elit bertaraf dunia. Beliau turut berkata penghargaan sepatutnya diberikan kepada Haridasse atas keazaman dan keberaniannya untuk menamatkan maraton.
“Ketika saya pergi membantu Ajay, ia adalah naluri semula jadi. Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari untuk membantunya. Pada saat itu, saya tahu saya perlu membantu rakan pelari,” kata Beggs.
Beliau berkata ketiga-tiga mereka yang berasal dari tiga benua berbeza dan tidak saling mengenali sebelum kejadian itu kini menjadi sahabat sepanjang hayat.
Beggs, yang mewakili North Down Athletic Club, menyertai Maraton Belfast pada Mei lalu, beberapa minggu selepas menamatkan perlumbaan di Boston. Beliau mencatat masa dua jam 48 minit di Belfast.
De Oliveira pula rebah selepas melepasi garisan penamat dan memerlukan bantuan perubatan. Beliau mengetepikan peluang mencatat masa terbaik peribadi demi membantu Haridasse.