Saifuddin: Individu berpengaruh tidak terkecuali dalam siasatan sindiket dadah TUDM
KUALA LUMPUR – Individu berpengaruh dan mereka yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat tidak akan terkecuali daripada tindakan undang-undang jika didapati terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah yang mengeksploitasi kemudahan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata demikian pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu yang berpotensi terlibat dalam kegiatan jenayah terancang itu. Siasatan akan diperluaskan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket serta peranan setiap individu di dalamnya.
“Saya beri jaminan bahawa sesiapa pun yang ditangkap dalam beberapa hari akan datang tidak akan terlepas daripada tindakan, tidak kira apa jua jawatan atau kedudukan mereka,” katanya.
Saifuddin menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran), yang meminta penjelasan mengenai cara sindiket berkenaan mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa. Ronald turut bertanya mengenai langkah kerajaan memperketat kawalan keselamatan aset ketenteraan dan membanteras penyusupan sindiket jenayah terancang ke dalam institusi pertahanan negara.
Menurut Saifuddin, taklimat awal menunjukkan terdapat beberapa nama yang berpotensi terlibat, termasuk individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat. Beliau berkata tindakan akan diambil terhadap mereka sekiranya terbukti terbabit.
Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh diperluaskan kepada unsur jenayah terancang. Saifuddin berkata, jika unsur itu dikenal pasti, pihak berkuasa akan menggunakan peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Kita akan memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan organisasi sindiket ini serta peranan setiap individu yang terlibat, termasuk pembiaya, perancang, pengangkut dan penghantar dadah,” katanya.
Beliau berkata kerajaan memandang serius kes itu kerana kegiatan berkenaan mengeksploitasi personel, kemudahan, aset dan infrastruktur strategik negara, termasuk fasiliti penerbangan TUDM. Menurutnya, selain menjadi kesalahan jenayah serius, perbuatan itu berpotensi menjejaskan integriti institusi keselamatan dan pertahanan negara.
Dalam operasi pada 17 dan 19 November lalu, 13 individu ditahan, terdiri daripada tujuh anggota TUDM dan enam orang awam. Anggota TUDM yang ditahan merangkumi lima pegawai serta dua anggota lain-lain pangkat.
Operasi itu turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram metamfetamin yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta. Bagaimanapun, ketua sindiket masih bebas. Saifuddin berkata pihaknya sudah mengenal pasti individu berkenaan dan yakin tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.
Siasatan awal mendapati sindiket mengeksploitasi kemudahan penerbangan tentera melalui individu yang mempunyai akses kepada operasi penerbangan TUDM. Saifuddin berkata rangkaian itu merupakan kumpulan jenayah besar yang sudah lama bertapak. Sebahagian ahlinya telah ditangkap, didakwa dan dipenjarakan, manakala selebihnya masih bebas.
Beliau berkata kegiatan itu dipercayai didorong keuntungan besar daripada penjualan dadah. Harga metamfetamin mencecah RM50,000 sekilogram di pasaran tempatan, RM250,000 sekilogram di Indonesia dan sehingga RM450,000 sekilogram di pasaran antarabangsa.