99.5 peratus sekolah KPM sudah diliputi rangkaian 4G
KUALA LUMPUR - Sebanyak 10,207 daripada 10,259 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara mempunyai liputan rangkaian 4G, bersamaan 99.5 peratus, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata, kerajaan komited memastikan sekolah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mendapat capaian Internet yang stabil serta berkualiti bagi menyokong agenda pendidikan digital negara.
Katanya, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau serta memperkukuh infrastruktur komunikasi. Usaha itu termasuk memberi perhatian kepada sekolah yang masih belum mendapat liputan bagi mencapai kesalinghubungan digital menyeluruh.
Fahmi berkata, pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Kumpulan 1 secara berperingkat mulai November ini melibatkan pembangunan 1,000 tapak di seluruh negara, termasuk 12 tapak di Johor.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai dasar kementerian untuk memastikan sekolah, khususnya di luar bandar, menikmati capaian Internet yang memenuhi Kualiti Perkhidmatan Minimum (MSQoS).
Menurut Fahmi, pelaksanaan JENDELA Fasa 2 tidak dikhususkan kepada sekolah, sebaliknya mengutamakan kawasan berpenduduk yang masih belum mempunyai liputan komunikasi.
Bagi projek Point of Presence (PoP), Fasa 1 yang membabitkan 677 lokasi sudah disiapkan sepenuhnya, termasuk 630 lokasi berhampiran sekolah. Fasa 2 pula mencapai 99.07 peratus, dengan 2,985 daripada 3,013 lokasi berhampiran sekolah siap setakat November ini. Baki lokasi dijangka disiapkan sepenuhnya pada 31 Disember ini.
Projek PoP bernilai RM4.6 bilion itu menyediakan infrastruktur gentian optik kepada sekolah, premis kerajaan, kediaman dan komuniti setempat dalam lingkungan radius 2.5 hingga tiga kilometer. Infrastruktur tersebut menawarkan kelajuan sehingga 1Gbps.
Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi bertanggungjawab menyediakan infrastruktur komunikasi, manakala urusan perolehan dan langganan Internet di sekolah terletak di bawah tanggungjawab KPM.
“Kami boleh menyediakan Internet sampai ke pagar sekolah, tapi dalam kawasan sekolah, terpulang kepada pihak sekolah dan KPM untuk memilih. Melalui inisiatif PoP ini, kami telah menyediakan Internet yang sangat berpatutan, 100Mbps pada harga serendah RM49 sebulan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Zaliha mengenai gangguan capaian apabila beberapa kelas menggunakan Internet serentak, Fahmi berkata jawatankuasa bersama KPM dan MCMC ditubuhkan bagi menangani isu itu.
Katanya, ada sekolah yang hanya disediakan satu atau dua titik capaian, sedangkan keperluannya mungkin lebih tinggi. Sekolah yang memerlukan bantuan boleh memaklumkan perkara itu kepada pihak berkaitan.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu) mengenai kontraktor yang gagal menyiapkan projek JENDELA Fasa 1, Fahmi berkata penalti dikenakan mengikut jumlah tapak yang tidak disiapkan.
Beliau memberikan contoh sebuah syarikat di Sabah yang dikenakan denda melebihi RM200 juta, hampir menyamai nilai kontrak yang diterima.
Bagi JENDELA Fasa 2, MCMC turut memperketat syarat penggunaan subkontraktor. Syarikat yang menerima kontrak perlu memaklumkan dan mendapat kebenaran MCMC terlebih dahulu sebelum menggunakan subkontraktor.
Fahmi berkata kumpulan pertama JENDELA Fasa 2 melibatkan 1,000 menara dan lokasi di seluruh negara, manakala kumpulan kedua yang dijangka bermula tahun depan akan memberi tumpuan lebih besar kepada Sabah dan Sarawak.