Verstappen buru kemenangan keempat berturut-turut di GP Qatar

DOHA: Max Verstappen memburu kemenangan keempat berturut-turut pada Grand Prix (GP) Qatar hujung minggu ini ketika saingan Formula Satu (F1) memasuki dua perlumbaan terakhir musim ini di Timur Tengah.
Juara dunia empat kali itu hadir dengan keyakinan selepas menjuarai GP Las Vegas, Ahad lalu. Kemenangan itu menjadikan Verstappen mencatat empat kemenangan daripada enam perlumbaan terakhir dan meningkatkan jumlah kemenangannya kepada 75.
Prestasi pemandu Red Bull itu turut menghidupkan semula persaingannya dengan George Russell dari Mercedes. Kedua-duanya sebelum ini saling mengkritik secara terbuka, menambah ketegangan di luar litar menjelang perlumbaan di Litar Antarabangsa Lusail.
Verstappen berkata litar di Doha mempunyai ciri berbeza, dengan selekoh kompleks dan laluan beralun yang memerlukan jentera berkeupayaan tinggi di selekoh berkelajuan tinggi.
“Doha adalah litar sangat berbeza. Ia mempunyai selekoh kompleks sesuai untuk jentera yang kuat ketika mengambil selekoh berkelajuan tinggi, selain banyak bahagian laluan yang beralun,” katanya.
Beliau berkata pasukan sudah menunjukkan prestasi konsisten dan melakukan tugas dengan baik sepanjang musim. Fokus mereka, katanya, adalah untuk menamatkan kejuaraan pengeluar di tangga ketiga.
Selain memburu kemenangan di Qatar, Verstappen berpeluang mengukuhkan kedudukannya dalam perebutan tempat kedua kejuaraan pemandu di belakang Kimi Antonelli. Russell pula dijangka menjadi antara pencabar utamanya susulan hubungan mereka yang semakin tegang.
Ferrari berdepan tugas mempertahankan tempat kedua kejuaraan pengeluar daripada Red Bull, dengan kelebihan 49 mata ketika hanya dua perlumbaan berbaki. Selepas GP Qatar, musim ini akan berakhir di Abu Dhabi minggu depan. Litar itu menyaksikan Verstappen meraih lima kemenangan dalam tempoh enam tahun lalu.