UTH Art Comp galak bakat muda terus berkarya selepas tamat pengajian

Sumber: Astro Awani
UTH Art Comp galak bakat muda terus berkarya selepas tamat pengajian
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Pendedahan lebih jelas mengenai hala tuju kerjaya dan sokongan industri perlu diberikan kepada penggiat seni visual muda selepas mereka menamatkan pengajian, kata Kurator Balai Seni Negara, Syahrul Niza Ahmad Zaini. Beliau menyuarakan perkara itu pada majlis penyampaian hadiah Usaha Tegas Heritage Art Competition (UTH Art Comp) di Bangunan Sultan Abdul Samad, pada Selasa.

Syahrul Niza berkata cabaran yang dihadapi penggiat seni muda di luar kampus berbeza daripada pengalaman mereka sebagai pelajar. Oleh itu, katanya, mereka perlu memahami industri seni serta mengetahui platform dan peluang yang boleh membantu mereka meneruskan kerjaya.

“Kita di Balai Seni Negara sentiasa memberikan sokongan kerana kita mahu melihat ke mana arah tuju pelukis-pelukis muda kita. Apabila mereka menamatkan pengajian, cabaran di luar amat berbeza berbanding ketika mereka masih bergelar pelajar,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Beliau, yang juga antara juri pertandingan, berkata usaha berterusan penganjur, institusi seni negara dan kementerian berkaitan dapat membuka lebih banyak peluang kepada bakat muda untuk terus menghasilkan karya dan membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi.

“Jadi mereka perlu memahami industri ini, mengetahui peranan Balai Seni Negara dan kementerian berkaitan serta peluang yang tersedia untuk mereka,” katanya.

Mengulas perkembangan peserta, Syahrul Niza berkata sepanjang empat kali terlibat dalam proses penjurian sejak 2001, beliau melihat peningkatan kepekaan terhadap tema warisan dan kesungguhan peserta membuat kajian kendiri sebelum menghasilkan karya. Peserta, katanya, kini lebih cenderung menjalankan penyelidikan sendiri supaya karya mereka mempunyai identiti tersendiri dan berbeza daripada hasil peserta lain.

Menurutnya, penilaian pertandingan bukan hanya melihat keindahan visual, tetapi turut mengambil kira kekuatan naratif karya, termasuk warisan yang diketengahkan, keasliannya dan kaitannya dengan pengalaman peserta.

“Apa yang menarik dalam penjurian ini ialah kita melihat kepada naratif dan cerita yang dibawa. Apakah warisan yang diangkat, apa keasliannya dan bagaimana ia membangkitkan memori yang mempunyai kaitan dengan peserta itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Usaha Tegas Heritage Art Competition, Henry Tan berkata pertandingan tersebut mahu menggalakkan lebih ramai artis dan bakat muda menyertai acara berkenaan. Pengiktirafan terhadap karya, khususnya bagi pemenang, diharap dapat meningkatkan keyakinan mereka untuk terus maju dan mengejar cita-cita.

Henry berkata penyertaan pelajar dari seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencerminkan perkembangan kreativiti generasi muda tempatan apabila mereka diberikan ruang yang sesuai. Beliau turut menyatakan keterujaan melihat kreativiti dan bakat yang dipersembahkan pelajar setiap tahun.

Katanya, potensi bakat seni tempatan wajar terus dibimbing dan disokong supaya mereka dapat berkembang dalam industri kreatif negara.