Asni fail tuntutan cerai, Mounir mahu pertahan rumah tangga

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Ustazah Asni Mansor memfailkan tuntutan perceraian terhadap suaminya, Mounir Abdul-Karim Kaddoura, di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor.
Peguam syarie yang mewakili Mounir, Nor Hazura Hamzah berkata, pihaknya memohon hari ini supaya prosiding tuntutan itu digantung sementara menunggu keputusan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. Permohonan itu dibuat bagi mencabar perintah yang dikeluarkan dalam prosiding tuntutan perceraian berkenaan pada 19 Oktober lalu.
Menurut Nor Hazura, Hakim Syarie, Mohd Syafiq Ibrahim membenarkan penggantungan prosiding sementara permohonan semakan kehakiman diputuskan. Kes tuntutan perceraian itu ditangguhkan ke 10 Februari 2027.
Nor Hazura berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan perintah bertarikh 19 Oktober yang sedang melalui proses semakan kehakiman. Beliau turut memaklumkan Mounir komited mempertahankan ikatan perkahwinannya dengan Asni dan mengarahkan isterinya tinggal serta menjalani kehidupan berumah tangga bersamanya.
Katanya, Mounir juga mahu mempertahankan haknya untuk didengar dan mendapat perbicaraan adil di mahkamah, mengikut proses undang-undang serta tatacara ditetapkan. Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengelakkan salah kenyataan atau pemesongan fakta berkaitan kes yang dibawa pihak terbabit ke mahkamah.
Pada 17 Oktober tahun lalu, Asni berkongsi berita perkahwinannya dengan Mounir menerusi hantaran di Instagram. Pendakwah berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu meluahkan rasa syukur kerana kembali bergelar isteri selepas berkahwin dengan Mounir, yang berketurunan Palestin dan warga Amerika Syarikat.
Asni sebelum ini pernah berkahwin dengan Mohd Nasir Rustam Al Hafiz, namun perkahwinan itu berakhir dengan perceraian. Mereka dikurniakan empat anak, iaitu Yasmin Sofea, Muhammad Adam Shauqi, Mariam Hani dan Muhammad Naufal Kholili.