Jabatan Pendidikan AS siasat sekolah Virginia, tahan pembiayaan
Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat melancarkan siasatan dan menahan pembiayaan untuk sebuah daerah sekolah di Virginia selepas pihak berkuasa tempatan menutup kesemua sekolahnya susulan skandal penderaan seksual kanak-kanak yang melibatkan kakitangan.
Setiausaha Pendidikan AS, Linda McMahon, berkata tindakan penguatkuasaan diambil bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan dan sekolah menjadi tempat selamat untuk kanak-kanak belajar. Dalam kenyataan pada Selasa, beliau berkata ibu bapa tidak sepatutnya perlu mempersoalkan sama ada sekolah anak mereka membantu atau melindungi pemangsa kanak-kanak.
Pegawai di Albemarle County mengumumkan minggu lalu bahawa kesemua 29 sekolah di daerah itu ditutup selepas mendapati lebih 500 kakitangan tidak menjalani saringan latar belakang rutin bagi menyemak rekod penderaan seksual kanak-kanak. Sistem sekolah itu mempunyai kira-kira 2,800 kakitangan, manakala hanya sebahagian kecil daripada belanjawannya berjumlah AS$284 juta datang daripada kerajaan persekutuan.
Pegawai tempatan menegaskan tiada seorang pun daripada 524 kakitangan berkenaan disyaki melakukan penderaan. Kira-kira 14,000 pelajar bersekolah di daerah itu. Penutupan menyebabkan ibu bapa bergegas mencari penjagaan anak, sementara keluarga yang bergantung pada makanan sekolah percuma terpaksa mencari sumber makanan lain.
Ahli lembaga sekolah Albemarle, Bob Beard, memberitahu Al Jazeera bahawa keluarga sedang bergelut menghadapi kesan penutupan itu. Bagaimanapun, sekolah dijadual dibuka semula pada Isnin, menurut beliau.
Dakwaan penderaan kanak-kanak itu menggemparkan daerah berkenaan dan menarik perhatian pentadbiran Presiden Donald Trump. Menurut Jabatan Polis Albemarle County, seorang bekas guru sekolah rendah ditangkap awal tahun ini kerana memiliki bahan penderaan seksual kanak-kanak. Seorang kaunselor di sekolah lain pula digantung tugas sebelum didakwa atas 20 pertuduhan jenayah seksual melibatkan tujuh kanak-kanak.
Dua pegawai sekolah daerah dan seorang pengetua kemudian didakwa kerana gagal melaporkan penderaan kanak-kanak. Penguasa sekolah daerah itu turut meletak jawatan.
Jurucakap Sekolah Awam Albemarle County, Jason Grant, memberitahu Al Jazeera bahawa tiada individu yang dikaitkan dengan kes-kes berkenaan termasuk dalam kalangan 524 kakitangan yang diambil bekerja tanpa saringan sewajarnya. Beliau berkata isu itu bukan kerana dasar tidak diwujudkan, sebaliknya proses yang ditetapkan tidak dipatuhi.
Grant berkata pihak berkuasa sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan proses yang diperlukan tersedia supaya kejadian sama tidak berulang. Beliau menjelaskan semua kakitangan melalui beberapa peringkat tapisan, termasuk semakan rekod jenayah dan pengesahan bahawa mereka tidak mempunyai sejarah penderaan atau pengabaian kanak-kanak.
Selepas tapisan itu, sistem sekolah menghantar maklumat kakitangan kepada Jabatan Perkhidmatan Sosial Virginia untuk mengesahkan mereka tidak tersenarai dalam pangkalan data agensi berkenaan mengenai penderaan dan pengabaian. Namun, prosedur itu dipercayai tidak dilaksanakan secara konsisten selama tiga tahun.
Grant berkata, meletakkan kakitangan yang diambil bekerja dalam tempoh tersebut dalam cuti sementara semakan latar belakang dijalankan akan menyebabkan sekolah tidak dapat beroperasi. Kakitangan terbabit merangkumi pelbagai jawatan, daripada guru dan pemandu bas hingga pekerja gantian, di seluruh daerah. Menurut beliau, sekolah tidak dapat menyediakan pengganti bagi jumlah kakitangan seramai itu.
Semua kecuali tiga daripada 524 kakitangan kini telah menjalani tapisan sewajarnya dan tiada seorang pun daripada mereka mempunyai masalah latar belakang, kata Grant. Beliau mengulangi bahawa sekolah daerah itu akan dibuka semula pada Isnin.
Pentadbiran Trump sejak sekian lama menyeru agar Jabatan Pendidikan dibubarkan. Presiden AS menandatangani perintah eksekutif tahun lalu yang cuba memulakan proses itu. Jabatan berkenaan menyalurkan pembiayaan persekutuan kepada negeri-negeri untuk kegunaan sekolah, selain lazimnya menyiasat sama ada pihak berkuasa tempatan mematuhi undang-undang hak sivil yang melarang diskriminasi terhadap golongan minoriti dan terpinggir.
Sejak kembali memegang jawatan pada 2025, pentadbiran Trump telah mengurangkan lebih separuh kakitangan jabatan itu dan melaksanakan perubahan yang lebih luas. Pentadbiran berkata perubahan tersebut bertujuan membasmi dasar “kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman” (DEI).