California bersiap hadapi banjir pesisir ketika air pasang tertinggi

Kawasan pesisir California bersiap menghadapi kemungkinan banjir besar ketika fenomena air pasang tertinggi tahunan memuncak sepanjang cuti Thanksgiving di Amerika Syarikat (AS), pada Rabu dan Khamis. Paras air di beberapa bahagian pantai negeri itu dijangka melebihi lapan kaki (2.4 meter), menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).
NWS memberi amaran bahawa sebahagian kawasan California boleh mengalami banjir pesisir yang ketara, khususnya lokasi tanah rendah. Paras air berkenaan berpotensi memecahkan rekod yang baru dicatat bulan lalu.
Di utara California, sebahagian struktur jeti runtuh ke laut pada Rabu ketika air pasang tinggi dan ombak kuat membadai binaan itu, menurut rakaman video. NWS menasihatkan orang ramai supaya menjauhi gigi air kerana ombak besar boleh muncul secara tiba-tiba.
Ombak berkenaan berupaya merosakkan jeti dan benteng pemecah ombak, selain boleh menyebabkan bot kecil terbalik, menurut NWS. Amaran itu dikeluarkan ketika paras air pasang tinggi direkodkan di beberapa lokasi sepanjang pantai California.
Di San Diego, air pasang setinggi lapan kaki 11 inci direkodkan pada pagi Rabu waktu tempatan. Bacaan itu berpotensi menjadi paras tertinggi pernah diukur di kawasan itu, mengatasi rekod 7.98 kaki yang dicatat pada hujung bulan lalu.
Paras air di Los Angeles pada Rabu pula dianggarkan setinggi 8.19 kaki. Bacaan itu mungkin mengatasi rekod bandar berkenaan yang direkodkan pada 27 Oktober, hanya beberapa minggu lalu, ketika banjir melanda sebahagian pantai California.
Data awal turut menunjukkan rekod air pasang tinggi yang dicatat baru-baru ini di Santa Barbara dan La Jolla sudah dipecahkan. Fenomena air pasang tertinggi tahunan atau *king tide* merujuk kepada paras pasang yang diramalkan paling tinggi dalam setahun, melebihi paras air ketika air pasang pada hari biasa.
Fenomena itu lazimnya berlaku sekali atau dua kali setahun di kebanyakan kawasan pesisir. Namun, ia semakin kerap berlaku di sesetengah tempat apabila paras laut meningkat. Air pasang kali ini juga diperkukuh oleh corak El Niño paling kuat pernah direkodkan.
Selain California, sistem ribut dijangka menjejaskan beberapa kawasan AS sepanjang cuti Thanksgiving. Satu sistem dijangka melanda Barat Laut Pasifik, termasuk wilayah British Columbia di Kanada, manakala satu lagi dijangka menjejaskan bahagian timur negara itu.
Di pantai timur, ribut Nor’easter yang sedang terbentuk dijangka membawa hujan lebat, angin kencang dan banjir pesisir. Kesan besar diramalkan bermula di bahagian tenggara pada Rabu sebelum bergerak ke utara pada malam Rabu dan Khamis, menurut NWS.
“Penduduk di sepanjang pantai timur boleh menjangkakan angin kencang yang mungkin merosakkan, hujan lebat serta kesan besar terhadap kawasan pesisir dan laut,” kata NWS. Sistem ribut itu boleh membawa hujan antara satu hingga empat inci di sepanjang pantai timur AS, dengan jumlah tertinggi antara empat hingga enam inci di kawasan pesisir North Carolina.
Rantaian gedung serbaneka AS, Macy’s, menangguhkan Perarakan Hari Thanksgiving tahunan ke-100 di New York, yang dijadual berlangsung pada Khamis, ke Sabtu berikutan cuaca buruk. Ini kali pertama acara itu ditangguhkan.
Cuaca bergelora di kedua-dua pantai AS juga boleh mengganggu perjalanan jutaan orang. Persatuan Automobil Amerika (AAA) menganggarkan 81.5 juta rakyat AS akan melakukan perjalanan sekurang-kurangnya 50 batu (80 kilometer) dari rumah bagi menyambut Thanksgiving, antara Selasa 24 November hingga Isnin 30 November.
Di British Columbia, pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran banjir di sepanjang pesisir wilayah paling barat Kanada itu. Penduduk digesa mengambil “tindakan segera untuk melindungi nyawa dan harta benda”, menurut amaran cuaca Environment and Climate Change Canada. Fenomena air pasang tertinggi berpotensi menambah paras air yang sudah tinggi di kawasan berkenaan.