47 cadangan reformasi undang-undang jenayah dijangka dibawa ke Kabinet menjelang pertengahan 2027

KUALA LUMPUR: Sebanyak 47 cadangan untuk memperbaharui tiga undang-undang jenayah utama negara dijangka dibentangkan kepada Kabinet menjelang pertengahan 2027, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran.
Cadangan itu merangkumi 20 saranan berkaitan Kanun Keseksaan, 11 bagi Kanun Tatacara Jenayah dan 16 untuk Akta Keterangan 1950. Kulasegaran berkata, beberapa sesi libat urus lanjut dengan agensi kerajaan akan diadakan sebelum cadangan berkenaan dibawa ke Kabinet.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi town hall mengenai kajian semula dan reformasi undang-undang jenayah di Parlimen. Sesi soal jawab pada hari itu turut menerima pelbagai pandangan, termasuk daripada ahli Parlimen, yang akan dipertimbangkan dalam perbincangan seterusnya bersama agensi berkaitan.
Ditanya bila pindaan yang dicadangkan akan dibentangkan di Parlimen, Kulasegaran berkata masih ada kerja lanjut yang perlu diselesaikan. Proses penggubalan dan perkara berkaitan memerlukan masa, katanya, sambil menjelaskan cadangan itu perlu dibincangkan oleh Kabinet terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Parlimen.
Pengerusi Jawatankuasa Reformasi Undang-Undang Jenayah (CLRC), Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal, berkata jawatankuasa itu mengambil masa 18 bulan untuk menyiapkan laporannya. Beliau berkata tiga undang-undang berkenaan antara undang-undang tertua di negara ini, dengan beberapa peruntukan tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.
Menurut Harmindar, terdapat peruntukan yang sudah lapuk dan tidak lagi terpakai, selain perubahan nilai masyarakat yang memerlukan pindaan. Jawatankuasa itu meneliti perkara berkenaan bersama penyelidik dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum mengemukakan syor kepada menteri.
Dalam ucapannya sebelum itu, Harmindar berkata cadangan berkenaan meliputi pelbagai perkara, termasuk perlindungan kebebasan diri, keadilan dalam prosiding jenayah, layanan terhadap golongan rentan serta kebolehpercayaan dan kebolehterimaan bukti. Ia turut merangkumi perlindungan mangsa dan saksi.
Syor lain bertujuan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan siasatan serta prosiding mahkamah, menjelaskan liabiliti jenayah dan memperkukuh hak serta perlindungan individu. Harmindar berkata cadangan itu bertujuan memastikan undang-undang kekal relevan, pelaksanaannya adil dan sistem keadilan jenayah mampu menangani realiti masyarakat moden.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua saranan boleh atau wajar dilaksanakan serta-merta. Sebahagiannya memerlukan pertimbangan dasar lanjut, rundingan dengan agensi berkaitan, penggubalan undang-undang serta penilaian terhadap implikasi kewangan dan operasi. Beliau berkata kejayaan reformasi tidak diukur berdasarkan jumlah pindaan, sebaliknya sama ada perubahan itu benar-benar memperbaik undang-undang dan pentadbiran keadilan.