United, Liverpool dan Tottenham sediakan tuntutan terhadap City

Sumber: Harian Metro
United, Liverpool dan Tottenham sediakan tuntutan terhadap City
Gambar: Harian Metro

LONDON: Manchester United, Liverpool dan Tottenham mendapatkan khidmat firma guaman sama untuk menyediakan tuntutan pampasan terhadap Manchester City berhubung dakwaan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL). Tuntutan itu berpotensi bernilai ratusan juta pound.

Ketiga-tiga kelab menggunakan Wiggin, firma pakar media, hiburan dan teknologi yang berpangkalan di London. Arsenal pula melantik peguam tetapnya, HFS Kramer, bagi menyediakan tuntutan berasingan.

Sumber yang mengetahui kes itu berkata terdapat tahap kerjasama antara kelab yang menggunakan khidmat Wiggin. Mereka turut melantik penganalisis sama untuk menilai potensi kerugian yang didakwa berpunca daripada pelanggaran peraturan kewangan City. Namun, setiap kelab akan mengemukakan tuntutan ganti rugi secara berasingan.

“Kes-kes ini mempunyai persamaan tetapi juga perbezaan. Punca utama kerugian mungkin sama, namun jumlah ganti rugi berbeza. Oleh itu, tuntutan akan dibuat secara berasingan,” kata sumber berkenaan.

Sumber lain berkata Tottenham mula mendapatkan khidmat Wiggin ketika Daniel Levy masih menjadi pengerusi kelab itu. Tottenham ialah kelab pertama yang mengambil tindakan undang-undang terhadap City selepas kelab berkenaan didakwa melanggar peraturan kewangan pada Februari 2023. Manchester United dan Liverpool kemudian mengambil langkah sama.

Pada November 2024, Tottenham, Manchester United, Liverpool dan Arsenal mengemukakan notis undang-undang untuk mengekalkan hak masing-masing menuntut pampasan daripada City. Langkah itu bertujuan mengelakkan tuntutan mereka ditolak atas alasan tamat tempoh had masa.

City menggunakan hujah had masa pada 2020 untuk membatalkan penggantungan dua tahun daripada Liga Juara-Juara (UCL) yang dikenakan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berhubung dakwaan kesalahan serupa. Tuntutan pelanggaran kontrak biasa tertakluk pada tempoh had masa enam tahun, bermula dari tarikh dakwaan berkenaan didedahkan kepada umum.

Dakwaan pelanggaran peraturan oleh City mula diterbitkan majalah berita Jerman, Der Spiegel, pada November 2018. Susulan itu, empat lagi anggota kelompok enam kelab utama EPL mengambil langkah mengekalkan hak untuk mengemukakan tuntutan.