United, Liverpool dan Spurs sediakan tuntutan pampasan terhadap City

Sumber: Harian Metro
United, Liverpool dan Spurs sediakan tuntutan pampasan terhadap City
Gambar: Harian Metro

LONDON: Manchester United, Liverpool dan Tottenham menggunakan firma guaman sama untuk menyediakan tuntutan ganti rugi terhadap Manchester City berhubung dakwaan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL), yang berpotensi bernilai ratusan juta pound.

Ketiga-tiga kelab melantik Wiggin, firma pakar media, hiburan dan teknologi yang berpangkalan di London. Arsenal pula menggunakan peguam tetapnya, HFS Kramer, untuk menyediakan tuntutan berasingan.

Sumber yang mengetahui kes berkenaan berkata terdapat tahap kerjasama antara kelab yang mendapatkan khidmat Wiggin. Mereka melantik penganalisis sama untuk menilai potensi kerugian yang didakwa berpunca daripada pelanggaran peraturan kewangan City. Namun, setiap kelab akan memfailkan tuntutan secara berasingan.

“Kes-kes ini mempunyai persamaan tetapi juga perbezaan. Punca utama kerugian mungkin sama, namun jumlah ganti rugi berbeza. Oleh itu, tuntutan akan dibuat secara berasingan,” kata sumber itu.

Sumber lain berkata Tottenham mula mendapatkan khidmat Wiggin ketika Daniel Levy masih menjadi pengerusi kelab berkenaan. Tottenham menjadi kelab pertama mengambil tindakan undang-undang terhadap City selepas dakwaan pelanggaran peraturan kewangan itu pada Februari 2023. Manchester United dan Liverpool kemudian mengikut langkah sama.

Keempat-empat kelab berkenaan mengemukakan notis undang-undang pada November 2024 bagi mengekalkan hak masing-masing untuk menuntut pampasan daripada City. Langkah itu bertujuan mengelakkan tuntutan mereka ditolak atas alasan tamat tempoh had masa.

Tempoh had masa bagi tuntutan pelanggaran kontrak biasa ialah enam tahun dari tarikh dakwaan berkenaan didedahkan kepada umum. Dakwaan terhadap City pertama kali diterbitkan majalah berita Jerman, Der Spiegel, pada November 2018.

City menggunakan isu tempoh had masa pada 2020 ketika berjaya membatalkan penggantungan dua tahun daripada Liga Juara-Juara yang dikenakan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berhubung dakwaan kesalahan serupa. Susulan itu, empat lagi anggota kelompok enam kelab utama EPL mengambil langkah untuk mengekalkan hak mereka mengemukakan tuntutan.