Mubarak Thahak @ Dohak bakal didakwa mengikut Akta Hasutan esok

SEREMBAN: Undang Luak Sungei Ujong yang dipertikaikan, Datuk Mubarak Thahak @ Dohak, bakal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok mengikut Akta Hasutan 1948.
Kes itu dijadual didengar di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar. Mubarak difahamkan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) akta berkenaan atas dakwaan menghasut.
Beliau didakwa menyebut perkataan menghasut di Balai Undang Luak Sungei Ujong, di sini, kira-kira jam 8.30 malam pada 19 April 2026.
Pada 28 Oktober lalu, media melaporkan Kerajaan Negeri Sembilan secara rasmi mewartakan pemecatan dua Undang yang dipertikaikan serta penggantian seorang lagi Undang yang bersekutu dengan kumpulan terbabit.
Dokumen warta itu ditandatangani Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin. Dokumen rasmi bertarikh 23 Oktober mengesahkan pemecatan Mubarak daripada jawatannya sebagai Undang Sungei Ujong berkuat kuasa 13 Mei 2025.
Satu lagi warta memecat Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid sebagai Syahbandar Sungei Ujong. Dokumen itu menyatakan pemecatan berkenaan dibuat bagi mematuhi keputusan yang dicapai pemimpin adat di wilayah masing-masing.