TUDM saring 8,000 anggota setahun, 175 ditamatkan kerana dadah

Sumber: Harian Metro
TUDM saring 8,000 anggota setahun, 175 ditamatkan kerana dadah
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjalankan saringan dadah secara rawak terhadap 8,000 anggota setiap tahun bagi memastikan pasukan itu bebas daripada penyalahgunaan bahan terlarang. Panglima Tentera Udara, Tan Sri Muhamad Norazlan Aris, berkata kira-kira 48,000 anggota sudah menjalani ujian berkala sejak saringan konsisten dilaksanakan enam tahun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 175 anggota pelbagai pangkat ditamatkan perkhidmatan selepas didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah. TUDM mempunyai lebih 14,000 anggota.

Menurutnya, usaha membanteras dadah turut diperkukuh melalui ceramah dan program kesedaran berkala. Beliau berkata saringan terhadap anggota membuktikan kesungguhan TUDM menangani kegiatan itu.

“Jika ada yang mengatakan TUDM tidak serius dalam usaha membanteras dadah, itu tidak benar sebab setiap tahun kita membuat saringan terhadap 8,000 anggota secara rawak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad Norazlan berkata TUDM tidak berkompromi dengan anggota yang terbabit dadah dan mengalu-alukan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa. TUDM, katanya, sedia memberikan maklumat bagi membantu membersihkan pasukan daripada anasir dadah, termasuk anggota yang mengambil bahan itu atau menjadi perancang sindiket.

Bagaimanapun, beliau berkata tindakan tidak dapat diambil terhadap individu yang terbabit dalam kes penyeludupan jika tiada laporan diterima, termasuk daripada pihak berkuasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata tiga tan syabu bernilai RM156 juta dipercayai diseludup keluar menerusi dua kemudahan TUDM di Sabah sejak Ogos 2024. Kegiatan itu membabitkan 21 transaksi: tujuh dikesan di Tawau dan 14 lagi di kemudahan TUDM Labuan.

Saifuddin berkata tujuh transaksi di Tawau membabitkan 1.8 tan syabu bernilai RM93 juta. Sementara itu, 14 transaksi di Labuan sejak Ogos 2024 melibatkan 1.2 tan syabu bernilai RM63 juta. Beliau turut membentangkan laporan penuh kes penyeludupan dadah berkait pegawai TUDM kepada Jemaah Menteri hari ini, supaya kerajaan dapat meneliti implikasinya, khususnya terhadap keselamatan aset dan lokasi strategik negara.

Mengulas penahanan tujuh anggota TUDM yang dikaitkan dengan penyeludupan dadah di Subang, Muhamad Norazlan berkata maklumat awal menunjukkan seorang anggota dipercayai bukan pengguna dadah, sebaliknya berperanan sebagai pengangkut atau “keldai dadah”. Anggota itu bertugas di Labuan dan, setakat ini, tiada laporan terdahulu mengenai penglibatannya yang membolehkan tindakan awal diambil.

“Setakat maklumat diterima, dia tidak mengambil dadah, sebaliknya berperanan sebagai penyelaras atau perancang sindiket berkenaan, tetapi siasatan lanjut mengenainya akan dilakukan polis,” katanya. Beliau berkata TUDM memerlukan maklumat lanjut daripada polis untuk menentukan tindakan susulan terhadap anggota yang terbabit.

Mengenai cara dadah dibawa masuk atau disembunyikan, Muhamad Norazlan berkata TUDM masih belum dapat memastikannya, termasuk kemungkinan penggunaan pesawat atau kawasan hangar. Bagaimanapun, dalam kes pada 17 November lalu, dadah dikesan dalam sebuah beg sebelum penerbangan dari pangkalan TUDM Subang ke Sabah.