Trauma diuji hingga hampir gila, Mawi setuju sertai GVF selepas enam perbincangan

Sumber: Sinar Harian

Penyanyi dan juruhebah radio Mawi mendedahkan beliau melalui kira-kira enam sesi perbincangan dengan penerbit sebelum bersetuju menyertai program realiti Gegar Vaganza Fantasia (GVF) akibat kebimbangan ujian berat yang pernah dilaluinya berulang. Beliau berkata fasa sukar berkaitan isu kesihatan dan penyakit misteri sebelum ini benar-benar menguji emosi serta perjalanan hidupnya sehingga menyebabkan beliau kurang menonjol dalam industri nyanyian.

“Saya takut benda itu berulang sebab saya diuji teruk, saya hampir gila,” kata Mawi ketika ditemui Bernama. Sebelum ini, media melaporkan juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu melalui pengalaman mistik dan penyakit misteri yang memaksanya berehat daripada industri seni selama beberapa tahun.

Namun tawaran GVF yang menghimpunkan barisan juara-juara AF akhirnya membuka hatinya untuk kembali ke pentas persembahan. “Saya lahir sebagai penyanyi menerusi AF3 pada 21 tahun lepas. Jadi, bila ada peluang bersempena dengan 30 tahun Astro ini, saya rasa ini masanya untuk meraikan dan mengenang jasa. Tambahan pula bila tengok barisan peserta semuanya juara AF, suasananya macam hari keluarga,” katanya.

Mawi berkata beliau juga tidak mahu mengecewakan penerbit, rakan-rakan serta peminat yang selama ini menantikan kemunculannya. Ditanya tentang kemungkinan mencipta “fenomena kedua” seperti ketika mula mencipta nama pada 2005, pelantun lagu Aduh Saliha itu berkata fokus utamanya kini adalah menghiburkan penonton dan melihat sejauh mana persembahannya diterima.

Fenomena terdahulu katanya terjadi secara semula jadi, bukan dirancang. “Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu, saya cuma mahu berseronok dan jadi diri sendiri,” tambahnya. Mawi pernah menerima pelbagai gelaran seperti gelombang Tsumawi, Mawi World, Mawimania dan Raja SMS, serta dijulang sebagai Bintang Paling Popular ABPBH tiga kali berturut-turut pada 2005, 2006 dan 2007.