Ajai gesa artis kuasai ilmu perniagaan, bukan harap bakat semata-mata

Kuala Lumpur: Komposer Ajai menggesa penggiat industri seni menguasai ilmu perniagaan bagi menjana pendapatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bakat semata-mata. Beliau, yang juga dikenali sebagai Mohd Faizal Maas, 51 tahun, berkata perkembangan teknologi masa kini mampu membantu penggiat menerokai aspek komersial dalam pelbagai bidang seni untuk terus relevan.
Menurut Ajai, keadaan industri semakin mencabar dan penggiat perlu belajar menguasai ilmu perniagaan serta tidak lagi memikirkan hanya bakat semata-mata. Beliau menambah walaupun bakat seperti mencipta lagu atau menyanyi wajar dihargai, tetapi untuk bertahan dari segi pendapatan, penguasaan ilmu perniagaan adalah penting. “Apabila kita menguasai ilmu perniagaan, perjalanan karier seni, insya-Allah mampu diatur serta diuruskan lebih baik untuk dikembangkan bagi bersaing ke peringkat luar juga,” katanya.
Baru-baru ini, Ajai dilantik sebagai duta program latihan industri kreatif menerusi inisiatif Creative Industry Academy (CIA). Pada majlis yang sama, telah berlangsung penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara MMU Creativista Sdn Bhd dengan DSR International Academy dan Wake The Baby Records. Sebanyak lapan program latihan diperkenal merangkumi bidang industri kreatif, produksi, media digital, teori muzik, komposisi, perniagaan muzik dan latihan vokal.
Pemain keyboard Exists itu turut menekankan pengalaman 35 tahun dalam industri sejak 1991 mendorong beliau membangunkan modul perniagaan muzik berteras kepada penguasaan ilmu perniagaan. “Selaku penggiat seni bebas, kita perlu memahami keseluruhan proses dalam industri seperti penghasilan karya, pengurusan dan pemasaran selain menjadikan produk kreatif ini sebagai sumber pendapatan. Kalau dulu, kita mungkin banyak bergantung kepada pihak lain dalam urusan proses pengedaran dan membantu mengembangkan kerjaya muzik, tetapi sekarang kita boleh melakukannya sendiri menerusi pendidikan ilmu dipelajari,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan DSR International Academy, Datuk Seri Abdul Rani Osman (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DSR International Academy, Dr Shalieza Razali.