Banjir lombong emas haram di Jawa ragut 13 nyawa, 13 hilang

Sumber: Harian Metro
Banjir lombong emas haram di Jawa ragut 13 nyawa, 13 hilang
Gambar: Harian Metro

JAKARTA: Seramai 13 pekerja maut manakala 13 lagi masih hilang selepas sebuah lombong emas haram di Pulau Jawa, Indonesia, dinaiki air susulan hujan lebat, menurut pegawai penyelamat pada Khamis.

Lombong itu dibanjiri air selepas sungai berhampiran melimpah pada Isnin. Kejadian menyebabkan pekerja terperangkap di dalam kawasan perlombongan berkenaan. Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) tempatan, Desiana Kartika Bahari, berkata 13 pekerja ditemukan maut setakat pagi Khamis, sementara usaha mencari mereka yang masih hilang diteruskan.

Beliau berkata operasi berdepan pelbagai cabaran, termasuk laluan penggalian yang sempit dan berkedalaman kira-kira 100 meter. Keadaan di dalam laluan itu turut menyukarkan usaha penyelamat kerana pencahayaan minimum serta muka bumi yang licin.

“Segala usaha dilakukan dengan mengambil kira keadaan di lapangan dan mengutamakan keselamatan anggota yang terbabit dalam operasi SAR,” katanya dalam kenyataan.

Jurucakap Polis Jawa Barat, Hendra Rochmawan, berkata 11 pekerja berjaya menyelamatkan diri sebelum air membanjiri terowong lombong pada Isnin. Katanya, pihak berkuasa hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada Selasa.

Kemalangan perlombongan sering berlaku di Indonesia, negara kepulauan yang kaya dengan sumber mineral. Kejadian seumpama itu khususnya berlaku di tapak perlombongan tanpa lesen yang mengabaikan prosedur keselamatan.