Tony Pua hadir Bukit Aman beri keterangan isu minit Lembaga Pengampunan
KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat untuk memberi keterangan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan mengenai isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pua, yang juga bekas pemimpin DAP, tiba pada jam 9.53 pagi bersama peguamnya sebelum memasuki bangunan ibu pejabat polis kira-kira jam 10 pagi. Beliau dilihat tersenyum ketika ditemui media, namun tidak memberikan ulasan mengenai kehadirannya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, turut dijadual hadir ke Bukit Aman pada jam 10 pagi bagi memberi keterangan berhubung kenyataan kontroversi yang dibuatnya sebelum ini. Bagaimanapun, wakil rakyat DAP itu masih belum kelihatan di lokasi sehingga jam 10.10 pagi.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata polis menerima 55 laporan berhubung hantaran Facebook Pua yang didakwa menyentuh kandungan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan isu tahanan rumah Najib.
Mohd Khalid turut memaklumkan polis menerima dua laporan mengenai kenyataan Poay Tiong berhubung dasar penutupan sementara premis perniagaan di Terengganu pada setiap Jumaat.
Menurut beliau, siasatan bagi kedua-dua kes dijalankan mengikut Seksyen 203A, Seksyen 298 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.