Tony Pua dan Khoo Poay Tiong dirakam keterangan di Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, hadir di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman hari ini untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan mengenai isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pua tiba pada 9.53 pagi dengan ditemani peguam sebelum memasuki ibu pejabat polis persekutuan itu pada 10 pagi. Beliau dilihat tersenyum ketika dihampiri pengamal media, namun tidak mengulas mengenai kehadirannya. Pua memaklumkan akan bercakap kepada media selepas proses rakaman keterangan selesai.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, turut dijadualkan dirakam keterangan di Bukit Aman pada 10 pagi berhubung kenyataan kontroversi yang dibuatnya sebelum ini. Wakil rakyat DAP itu difahamkan tiba lebih awal dan memasuki Bukit Aman sebelum pengamal media tiba.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata polis menerima 55 laporan berhubung hantaran Facebook Pua yang didakwa menyentuh kandungan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan mengenai tahanan rumah Najib.
Polis juga menerima dua laporan berkaitan kenyataan Khoo mengenai dasar Terengganu yang mewajibkan premis perniagaan ditutup sementara pada Jumaat.
Mohd Khalid berkata siasatan bagi kedua-dua kes dijalankan mengikut Seksyen 203A, 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.