Tuntutan RM600 juta terhadap Google wajar diuji di mahkamah

KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyaman Google dengan tuntutan ganti rugi RM600 juta disifatkan berasas dan wajar diteruskan untuk diuji di mahkamah, kata pakar keselamatan siber, Aaron Ikram Mokhtar.
Beliau berkata, tindakan itu perlu dinilai berdasarkan dakwaan bahawa Google gagal mematuhi kewajipan undang-undang dan syarat pelesenan, termasuk dengan tidak menangani kandungan memudaratkan di YouTube secepat mungkin.
Bagaimanapun, katanya, jumlah tuntutan dan pembahagiannya kepada ganti rugi am, teruk serta teladan perlu disokong bukti kukuh. MCMC juga perlu membuktikan Google benar-benar gagal bertindak, bukan sekadar lambat.
Menurut angka MCMC yang dikemukakan Aaron, daripada 74,703 laporan kepada YouTube antara 1 Januari hingga 28 Oktober 2026, sebanyak 74,569 atau 99.8 peratus berkaitan perjudian dalam talian.
Daripada laporan itu, MCMC mendakwa 4,950 tidak mendapat sebarang tindak balas. Sebanyak 1,468 kes pula mengambil masa lebih 30 hari, manakala 35 kes mengambil masa lebih 90 hari untuk diambil tindakan atau diturunkan.
Aaron berkata, jika angka berkenaan dapat dibuktikan di mahkamah, ia memberikan asas munasabah untuk mempersoalkan sama ada sistem tindak balas YouTube memenuhi piawaian yang ditetapkan undang-undang dan syarat pelesenan.
Beliau berkata Google terikat dengan kewajipan khusus di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta syarat lesen ketika mengendalikan platform berkenaan.
MCMC memulakan tindakan undang-undang terhadap Google menerusi dua saman berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan di YouTube. Setiap saman menuntut RM300 juta, termasuk RM100 juta masing-masing bagi ganti rugi am, teruk dan teladan.
Saman pertama membabitkan dakwaan Google gagal mengambil langkah sewajarnya terhadap ribuan kandungan memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian dan penipuan. Dakwaan itu berasaskan pelanggaran peruntukan undang-undang dan syarat lesen, selain kecuaian.
Saman kedua pula berkaitan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya di bawah undang-undang dan bertindak proaktif terhadap penerbitan semula kandungan yang didakwa melanggar undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang juga dikenali sebagai Papagomo.
Aaron berkata MCMC perlu membuktikan dakwaan kegagalan itu menyebabkan kerugian yang boleh dikira dan jumlah tuntutan RM600 juta adalah munasabah. Setiap jenis ganti rugi yang dituntut, katanya, perlu mempunyai asas pembuktian tersendiri di mahkamah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata tindakan MCMC berlandaskan Seksyen 623 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, khususnya berkaitan tanggungjawab penyedia perkhidmatan berlesen dalam penyederhanaan kandungan.
Katanya, tindakan itu perlu dilihat dari sudut kedaulatan undang-undang dan tanggungjawab penyedia platform digital untuk memastikan kandungan yang disiarkan tidak memudaratkan pengguna. Dua isu utama, katanya, ialah kandungan berkaitan jenayah siber termasuk penipuan dan perjudian dalam talian, serta kegagalan Google menurunkan kandungan tertentu selepas menerima arahan MCMC.
“Isu ini bukan hanya membabitkan YouTube, malah turut melibatkan enjin carian Google yang memaparkan pelbagai iklan, termasuk iklan yang melanggar undang-undang,” katanya.
Siraj berkata tindakan itu turut membabitkan kandungan berkaitan Papa Gomo yang didakwa tidak diturunkan selepas MCMC mengarahkan supaya ia dipadamkan dalam tempoh 12 jam.
Beliau berkata Google bukan sekadar menyediakan ruang kepada pengguna untuk memuat naik kandungan, malah memperoleh keuntungan melalui iklan yang dipaparkan berdasarkan jumlah tontonan. Oleh itu, katanya, penyedia platform tidak wajar melepaskan sepenuhnya tanggungjawab kepada individu yang memuat naik kandungan, sedangkan mereka mempunyai keupayaan teknikal untuk menyekat atau menurunkannya.
“Dua pihak perlu dipertanggungjawabkan, iaitu individu yang memuat naik kandungan berkenaan dan penyedia platform itu sendiri,” katanya, sambil menjelaskan penyedia platform bertanggungjawab menurunkan kandungan, manakala MCMC boleh mengeluarkan arahan berhubung tindakan itu.