Tiga tan syabu diseludup melalui pangkalan TUDM sejak Ogos 2024

Sumber: Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga tan dadah disyaki methamphetamine bernilai RM156 juta dikenal pasti diseludup keluar melalui Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Labuan dan Tawau, Sabah, sejak Ogos 2024, Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan itu dikesan hasil risikan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan menerusi kedua-dua pangkalan berkenaan.

Beliau berkata, 14 transaksi melalui Pangkalan TUDM Labuan membabitkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta. Tujuh transaksi lagi dikesan melalui Pangkalan TUDM Tawau, dengan jumlah 1.8 tan bernilai RM93 juta.

Menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai kaedah sindiket mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa, Saifuddin berkata, jumlah dadah yang dirampas berpotensi memberi kesan kepada jutaan orang.

Beliau berkata, pengambilan methamphetamine sebanyak 0.02 gram boleh membekalkan dadah itu kepada 15 juta orang berdasarkan jumlah tiga tan berkenaan. Jika dos 0.05 gram diambil, jumlah yang berpotensi terkesan ialah enam juta orang.

“Jadi, bayangkan kalau kita tak lumpuhkan kegiatan ini, mangsanya itu berjuta-juta orang,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri.

Saifuddin berkata kerajaan memandang serius kegiatan itu kerana ia membabitkan sindiket jenayah terancang yang mengeksploitasi personel, kemudahan, aset dan infrastruktur strategik negara, termasuk fasiliti penerbangan tentera.

Katanya, siasatan akan diperluas bagi mengenal pasti peranan setiap individu serta penglibatan keseluruhan organisasi. Beliau menegaskan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah, tanpa mengira kedudukan.

“Hal ini bukan saja soal kesalahan jenayah yang serius, malah boleh menjejaskan integriti institusi keselamatan dan pertahanan. Ketua sindiket masih bebas, tetapi kita dah kenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa yakin dapat menahan ketua sindiket itu dalam masa terdekat dan menyiasatnya di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. Siasatan setakat ini pula menuju kepada unsur jenayah terancang, dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA turut akan digunakan.

Setakat ini, 13 individu ditahan, termasuk tujuh pegawai TUDM, lima pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat serta enam orang awam, menurut Saifuddin. Operasi itu turut menyaksikan rampasan 96.64 kilogram methamphetamine bernilai RM4.83 juta dan sitaan tiga kenderaan bernilai RM172,062.

Beliau berkata intipan bermula pada Januari 2026, namun siasatan awal mendapati kegiatan itu sudah berlangsung beberapa tahun sebelum itu dan dikendalikan sindiket besar yang telah lama bertapak. Sebahagian individu sudah ditangkap, didakwa dan dipenjarakan, manakala sebahagian lagi masih bebas.

Saifuddin berkata siasatan turut menumpukan kemungkinan kegiatan itu menjadi perniagaan yang sangat menguntungkan. Harga sekilogram methamphetamine di pasaran tempatan kira-kira RM50,000, manakala di pasaran antarabangsa boleh mencecah RM450,000.

Mengenai cara kemudahan penerbangan tentera digunakan, beliau berkata siasatan awal mendapati ada individu yang mempunyai akses dan hubungan dengan personel serta operasi penerbangan tentera.

“Kita percaya perkara ini menjadi permulaan bagi membuka ruang kepada sindiket untuk menggunakan kemudahan tersebut bagi tujuan penyeludupan,” katanya.