Tiga tan syabu diseludup melalui pangkalan TUDM sejak Ogos 2024

KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga tan dadah disyaki methamphetamine bernilai RM156 juta dikenal pasti diseludup keluar melalui Pangkalan TUDM Labuan dan Pangkalan TUDM Tawau, Sabah sejak Ogos 2024, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, risikan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan menerusi kedua-dua pangkalan berkenaan.
Daripada jumlah itu, 14 transaksi melalui Pangkalan TUDM Labuan membabitkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta. Tujuh transaksi lagi dikesan melalui Pangkalan TUDM Tawau, melibatkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta.
Saifuddin berkata, jumlah dadah yang dirampas itu berpotensi memberi bekalan kepada jutaan orang. Menurutnya, pengambilan methamphetamine sebanyak 0.02 gram sahaja boleh memberi bekalan kepada 15 juta orang, manakala dos 0.05 gram boleh melibatkan enam juta orang.
“Jadi, bayangkan kalau kita tak lumpuhkan kegiatan ini, mangsanya itu berjuta-juta orang,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai kaedah sindiket penyeludupan dadah mengeksploitasi kemudahan penerbangan TUDM di Sabah sebagai laluan transit antarabangsa, dalam sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.