Tidal haramkan muzik janaan sepenuhnya AI mulai 9 Disember

NEW YORK: Platform penstriman muzik Tidal akan mengharamkan kandungan muzik yang dijana sepenuhnya oleh kecerdasan buatan (AI) generatif mulai 9 Disember ini, dalam usaha mengutamakan karya artis manusia dan mengekang penipuan.
Mulai tarikh itu, muzik yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan AI akan dipadam atau ditolak daripada platform berkenaan. Pengedar yang masih menghantar kandungan sedemikian juga berisiko disekat.
Tidal berkata penghantaran muzik akan ditolak secara automatik jika metadatanya menunjukkan lagu itu dijana sepenuhnya oleh AI. Bagaimanapun, penggunaan AI sebagai alat bantuan dalam proses penerbitan muzik masih dibenarkan.
Platform itu menyatakan 43 peratus daripada kandungan muzik yang dihantar kepadanya dalam tempoh 90 hari lalu dikesan dijana sepenuhnya oleh AI. Peratusan itu meningkat kepada lebih 60 peratus bagi muzik baharu yang dihantar pada 6 November lalu.
Tidal sebelum ini memperkenalkan pelabelan khas untuk kandungan yang dijana sepenuhnya oleh AI dan menghalangnya daripada memperoleh pendapatan royalti. Namun, langkah itu didapati tidak mencukupi untuk membendung lambakan kandungan berkenaan.
Kini terdapat kira-kira 27 juta lagu janaan AI di Tidal, bersamaan 6.3 peratus daripada keseluruhan katalog muzik platform itu. Proses pemadaman sepenuhnya dijangka selesai menjelang awal tahun hadapan.
Tidal berkata langkah terbaharu itu turut bertujuan menangani muzik janaan AI yang didakwa memperdaya pendengar dan meniru gaya artis sebenar untuk meraih keuntungan menerusi penstriman.