Sembilu 2.0 kembali ke Stadium Merdeka dengan kejutan barisan artis

Sumber: Harian Metro
Sembilu 2.0 kembali ke Stadium Merdeka dengan kejutan barisan artis
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Selepas menerima sambutan menggalakkan bagi konsert Sembilu pada Februari lalu, TJTM Entertainment kembali dengan produksi lebih besar menerusi Sembilu 2.0 The Last Reunion Live In Concert di Stadium Merdeka pada 16 Januari depan.

Bertemakan The Last Reunion, konsert itu menghimpunkan semula nostalgia fenomena filem Sembilu yang pernah mencipta sejarah dalam industri hiburan tanah air. Penganjur menyifatkan pertemuan itu sebagai istimewa dan sukar berulang.

Edisi kali ini diterajui TJTM Entertainment di bawah naungan pereka fesyen, Ezuwan Ismail. Beliau sebelum ini pernah menerajui penganjuran konsert Sembilu serta 40 Dekad Fauziah Latiff di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut jurucakap penganjur, pemilihan Stadium Merdeka mencerminkan usaha membawa produksi berkenaan ke tahap lebih tinggi dari segi skala persembahan, konsep, susunan muzik dan pengalaman penonton di venue bersejarah itu.

“Pihak penganjur turut menjanjikan pilihan lagu yang lebih mantap dan susunan muzik baharu bagi menghidupkan kembali momen romantis, konflik, persahabatan serta emosi yang sinonim dengan karya Sembilu,” katanya dalam satu kenyataan.

Identiti penuh barisan artis yang bakal membuat persembahan masih dirahsiakan bagi mengekalkan elemen eksklusif dan kejutan menjelang sidang media rasmi pada 16 Disember depan.

Konsert yang bermula pada 8.30 malam itu akan membuka jualan tiket rasmi pada 12 tengah hari esok menerusi laman sesawang ilassotickets. Harga tiket ditawarkan mengikut kategori, bermula RM159 hingga RM1,399.

Penganjur turut menyediakan kategori kusyen istimewa secara percuma bagi setiap pembelian tiket di luar kategori arena, iaitu Pasrah, Setiaku Di Sini, Cinta Abadi, Madah Berhelah dan Puncak Kasih. Pembeli juga boleh menikmati diskaun ‘early bird’ sebanyak lima peratus selama seminggu bermula tarikh jualan dibuka, selain potongan 10 peratus untuk pembeli tiket konsert Sembilu terdahulu.