TFC diperkuat Morales dan Kastaneer menjelang aksi bertemu NSFC

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) menerima suntikan moral apabila penyerang utama Romel Morales dan Gervane Kastaneer kembali memperkuatkan pasukan menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang esok.
Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, kepulangan kedua-dua pemain itu melegakan pasukan selepas mereka terlepas aksi sebelum ini akibat menjalani penggantungan satu perlawanan.
Menurutnya, kehadiran Morales dan Kastaneer memberikan lebih banyak pilihan kepada pasukan, khususnya bagi memperkasakan jentera serangan dalam usaha memburu kemenangan.
Bagaimanapun, persiapan skuad Penyu sedikit terjejas berikutan keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan turun hampir setiap petang. Pihak kejurulatihan menyesuaikan jadual latihan lebih awal dan turut menggunakan padang sintetik.
“Kita cuba mencari masa dan lokasi yang sesuai untuk latihan. Walaupun hujan sedikit mengganggu, setakat ini persiapan pasukan berjalan dengan baik,” katanya.
Nafuzi turut mengakui ketumpulan penyudah dan kelemahan benteng pertahanan perlu segera diperbaiki bagi mengelakkan TFC terus keciciran mata.
“Kita perlu menjaringkan gol dan pada masa sama mengelakkan daripada dibolosi. Kesilapan sendiri perlu dikurangkan kerana lawan akan mengambil kesempatan,” katanya.
TFC kini berada di tangga kedua tercorot Liga Super dengan mengumpul lima mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.