Penderaan rumah tangga bermula dengan kawalan, bukan semata-mata kecederaan

Keganasan rumah tangga boleh bermula secara senyap melalui sikap mengongkong dan penderaan emosi, sebelum mangsa kehilangan keyakinan serta kebebasan untuk keluar daripada hubungan itu. Pakar Perunding Kanan Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Sajaratulnisah Othman, berkata perkara itu dalam episod pertama audio siar Listen: Dengar, Fahami, Bertindak terbitan Bernama dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), yang disiarkan Isnin lalu.
Menurutnya, terdapat garis halus antara sikap mengambil berat dengan tindakan mendominasi pasangan. Tingkah laku yang mengawal itu boleh disalah tafsir pada awal perhubungan sebagai tanda kasih sayang, sedangkan ia mungkin menjadi permulaan kepada penderaan.
Pelaku, katanya, lazimnya berusaha memisahkan mangsa daripada keluarga dan rakan-rakan, selain mengawal kewangan mereka. Keadaan itu mewujudkan ketidakseimbangan kuasa serta menyukarkan mangsa meninggalkan hubungan berkenaan.
“Maknanya, mangsa itu jika ada apa-apa pun dia terpaksa bergantung kepada pelaku sahaja sebab 'sosial network' dia tu dah tidak ada,” katanya.
Fenomena pengongkongan itu selari dengan dapatan Tinjauan Penduduk yang menunjukkan kira-kira separuh responden mengakui mengalami tingkah laku mengongkong oleh pasangan. Tinjauan sama turut menunjukkan tujuh peratus wanita berusia 15 hingga 49 tahun mempunyai pengalaman didera.
Dr Sajaratulnisah berkata, penghinaan lisan yang berulang boleh menyebabkan ikatan trauma dan ketidakberdayaan yang dipelajari. Mangsa mungkin hilang keyakinan diri serta percaya mereka tidak mampu berdikari tanpa pelaku, termasuk mereka yang bekerja dalam bidang profesional.
Beliau berkata, antara mangsa yang ditemuinya ialah golongan profesional, termasuk peguam, yang sukar meninggalkan hubungan kerana dipinggirkan dan bergantung kepada pelaku dari segi kasih sayang serta kewangan. “Dia rasa macam dia tak boleh keluar,” katanya.
Kesan keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan kesihatan mental, seperti kebimbangan melampau, kemurungan major dan gangguan tekanan pascatrauma (PTSD). Mangsa juga boleh hadir ke fasiliti kesihatan dengan simptom fizikal kronik yang puncanya tidak jelas, antaranya sakit kepala berpanjangan, sakit perut atau sindrom rengsa usus (IBS).
Kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran keganasan rumah tangga pula terdedah kepada kesan jangka panjang, termasuk Adverse Childhood Event (ACE). Menurut Dr Sajaratulnisah, pengalaman itu boleh menyebabkan mereka menormalisasikan keganasan sebagai cara menyelesaikan konflik, selain meningkatkan risiko penyakit kronik dan kematian pramatang apabila dewasa.
Beliau menasihatkan individu yang mengenal pasti ciri-ciri penderaan dalam hubungan supaya tidak memuat naik masalah itu di media sosial. Sebaliknya, mereka disarankan mendapatkan bantuan daripada individu terdekat yang dipercayai atau merujuk pengamal perubatan di fasiliti kesihatan.
Perlindungan kepada mangsa di Malaysia diperuntukkan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), yang merangkumi keganasan fizikal, psikologi, emosi, sosial dan kewangan. Mangsa juga boleh mendapatkan perlindungan segera melalui Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), atau menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam.
Audio siar itu merupakan sebahagian daripada kempen advokasi menghentikan keganasan rumah tangga anjuran Bernama dan KPWKM. Kempen berkenaan diadakan susulan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mencatatkan hampir 6,000 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dari Januari hingga September tahun ini.