Tembakau kunyah dan cerut bernilai hampir RM4 juta dirampas
KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas tembakau kunyah dan cerut bernilai keseluruhan RM3,955,525, termasuk duti dan cukai, selepas sebuah kontena ditahan di Pelabuhan Klang pada 23 Oktober lalu. Produk itu dipercayai diikrarkan sebagai makanan dalam dokumen pengimportan bagi mengelakkan pembayaran duti, cukai serta keperluan permit import.
Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud, berkata kontena yang dipercayai diimport dari sebuah negara di Asia Tenggara itu ditahan oleh pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan berdasarkan maklumat awam.
Pemeriksaan mendapati kontena berkenaan membawa produk tembakau jenis tembakau kunyah dan cerut yang disyaki tidak berkastam. Kesemua barangan yang dirampas mempunyai berat 5,925 kilogram (kg), dengan anggaran nilai RM358,200.
Wan Norizan berkata jumlah duti dan cukai yang terlibat dianggarkan RM3.59 juta, menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM3,955,525. Pengimportan produk itu tertakluk kepada keperluan permit di bawah Butiran 66, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Menurutnya, pihak terbabit dipercayai mengisytiharkan barangan itu sebagai makanan dalam dokumen pengimportan atau Borang Kastam No. 1. Seorang wakil syarikat pengimport telah dipanggil untuk membantu siasatan yang masih dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam atau barang larangan import.
Wan Norizan turut menggesa orang ramai membantu JKDM membanteras penyeludupan, khususnya kegiatan membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan. Beliau berkata penyeludupan boleh menyebabkan kehilangan hasil negara serta mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.