Juruwang didakwa ditolak dan ditendang selepas teguran mengenai riak wajah

Sumber: Sinar Harian

MELAKA – Polis membuka kertas siasatan selepas seorang juruwang didakwa dikasari seorang lelaki dan beberapa ahli keluarganya di sebuah pasar mini di Taman Bertam Perdana, di sini, pada 22 November lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika mangsa sedang bertugas di kaunter bayaran.

Menurut beliau, kejadian dipercayai bermula apabila seorang pelanggan wanita menegur rakan sekerja mangsa supaya senyum kerana tidak berpuas hati dengan riak wajahnya. Wanita itu kemudian keluar dari kedai sebelum suaminya kembali bersama empat anak mereka.

Lelaki berkenaan didakwa membaling sekotak rokok ke arah mangsa dan menolaknya dengan kuat sehingga terkena peti sejuk. Seorang wanita yang dipercayai anak perempuan lelaki itu pula didakwa menengking serta menendang kaki mangsa beberapa kali.

“Keadaan kemudian ditenteramkan oleh isteri lelaki berkenaan sebelum mereka sekeluarga meninggalkan premis itu dengan menaiki sebuah kenderaan berwarna biru gelap,” kata Halim.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan dirinya. Mangsa turut mendapatkan rawatan di hospital selepas kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang giat mengesan semua individu yang terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.