Guru diperintah bayar RM1.5 juta kepada 15 mangsa skim emas

ALOR STAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang guru membayar pampasan RM1.5 juta kepada 15 mangsa skim pelaburan emas yang diwakilinya. Hakim Dr Mohammad Johan Lee membenarkan tuntutan plaintif, yang kebanyakannya penjawat awam dan melabur dalam skim berkenaan.
Mangsa dilaporkan merupakan rakan sekerja guru itu. Mereka ditawarkan emas pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran, selain dijanjikan pulangan lumayan. Peguam plaintif, Mahmud Jumaat, berkata mangsa melaburkan sehingga ratusan ribu ringgit seorang selepas tertarik dengan tawaran tersebut.
Menurut Mahmud, guru itu berhujah bahawa beliau hanya bertindak sebagai orang tengah yang mempromosikan skim perdagangan emas bagi pihak penganjurnya, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 39. Bagaimanapun, mahkamah menolak pembelaan itu selepas mendapati wujud hubungan kontrak antara guru berkenaan dengan plaintif.
Mahkamah mengambil kira bahawa bayaran dibuat terus ke akaun peribadi dan akaun perniagaan guru itu. “Mahkamah juga mendapati guru itu bertanggungjawab kerana gagal memenuhi obligasi kontraknya dan memulangkan wang yang diterima daripada plaintif,” kata Mahmud.
Guru itu diperintah membayar RM1.5 juta kepada 15 plaintif berdasarkan jumlah pembelian yang dibuktikan sepanjang perbicaraan.
Pada April, Siti Hajartul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menipu dalam urusan jualan emas yang tidak wujud, membabitkan kerugian RM173,500 pada 2024. Beliau sebelum ini ditahan sebaik tiba dari Dubai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 22 Okt 2024 berhubung penipuan pelaburan emas bernilai jutaan ringgit.
Siti Hajartul dipercayai menipu lebih 100 mangsa dengan kerugian melebihi RM110 juta melalui tawaran emas 916 pada harga bawah pasaran. Mangsa termasuk kakitangan hospital awam di Lembah Klang dan guru di beberapa negeri. Sebahagian daripada mereka dilaporkan meminjam wang daripada saudara-mara, rakan dan pemberi pinjaman wang tidak berlesen untuk menyertai tawaran itu.