Tashima mahu ubah imej dan tadbir urus FIFA

Sumber: Harian Metro
Tashima mahu ubah imej dan tadbir urus FIFA
Gambar: Harian Metro

TOKYO: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima, mendakwa imej FIFA semakin tercalar sepanjang 11 tahun Gianni Infantino menerajui badan induk bola sepak dunia itu. Tashima menawarkan diri merebut jawatan presiden bersama Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis, Philippe Diallo.

“Pemimpin yang mempunyai kuasa besar tidak sepatutnya terlalu lama memegang jawatan,” kata Tashima, merujuk kepada Infantino.

Dalam temu bual eksklusif semalam, Tashima berkata pengalaman di Lapangan Terbang Zurich, Switzerland, membuatkannya teringat akan reputasi FIFA. Ketika memakai sut dengan logo badan itu, beliau mendakwa ada orang menegurnya: “Oh, kamu daripada FIFA, teruknya.”

Tashima berkata beliau sebelum ini sentiasa berbangga memakai logo FIFA, namun keadaan kini berubah. Beliau mahu memperbaiki imej badan itu, sistem tadbir urus serta ketelusannya.

Infantino dilihat mendapat sokongan besar untuk meneruskan tempoh empat tahun lagi apabila pemilihan presiden berlangsung pada 18 Mac ini. Beliau sudah berkhidmat selama tiga penggal. Setiap persatuan anggota FIFA mempunyai satu undi, manakala 210 persatuan layak mengundi selepas Nepal digantung keanggotaannya.

Tinjauan tidak rasmi mendapati Infantino sudah memperoleh sokongan yang diperlukan untuk memenangi pemilihan menerusi undian sulit. Tashima, 69, mengakui peluangnya untuk menang amat tipis, namun berkata beliau hanya akan berkhidmat satu penggal selama empat tahun jika dipilih.

“Sasaran saya adalah mengubah sistem tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan memperbaiki proses membuat keputusan. Itu sudah memadai untuk tempoh empat tahun. Lapan tahun terlalu lama,” katanya.

Tashima berkata beliau sudah berbual ringkas menerusi telefon dengan Diallo dan berharap dapat bertemu dengannya dalam masa terdekat bagi membincangkan strategi. Mereka mungkin berbincang minggu depan atau pada Disember sebelum memutuskan sama ada akan bekerjasama atau menarik diri.

“Buat masa ini, saya akan terus berjuang sehingga ke penghujungnya,” katanya.

Beliau enggan mendedahkan persatuan anggota FIFA yang menyokong pencalonannya, sambil berkata: “Ini rahsia.” Tashima turut menjelaskan FIFA boleh mendedahkan maklumat itu jika mahu.

Tashima sebelum ini bercakap mengenai isu berkenaan minggu lalu di pusat latihan JFA, di pinggir Tokyo. Dalam temu bual semalam, beliau sekali lagi mengkritik tindakan Infantino ketika dan selepas Piala Dunia yang berlangsung di Amerika Utara awal tahun ini.