Tangisan bapa iringi pengebumian dua anak maut dalam kemalangan
PASIR MAS – Tangisan Saiful Nizam Abdul Sani mengiringi pengebumian dua anak lelakinya yang maut dalam kemalangan motosikal di Kampung Bechah, Tendong, pada Khamis. Kedua-dua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung pada Jumaat.
Saiful Nizam, 42, dilihat beberapa kali mengesat air mata dengan tuala ketika menyaksikan Muhammad Saiful Haider Saiful Nizam, 10, dan Muhammad Saiful Hayyan, 6, disemadikan dalam satu liang lahad. Beliau ialah bapa kepada lima cahaya mata.
Jenazah kedua-dua beradik itu selamat dikebumikan pada jam 10.50 pagi selepas disolatkan oleh lebih 300 jemaah di Masjid Al-Hanan.
Abang mereka, Muhammad Saiful Haikal, 18, turut hadir mengiringi pengebumian dengan menaiki kerusi roda. Dia mengalami patah ibu jari kaki dalam kemalangan yang sama.
Dua beradik itu maut selepas motosikal yang dinaiki bersama abang mereka dipercayai terbabas, bergesel dengan tiang lampu sebelum melanggar lubang di tepi jalan.
Ibu mereka, Noor Zuhanis Mohd Noor, 42, kelihatan sugul sambil memangku anak bongsu lelakinya. Anak kedua pasangan itu, Muhammad Saiful Harraz, 14, pula menangis sambil menutup wajah dengan kopiah ketika berada di sisi pusara dua adiknya.
Pengebumian berlangsung lancar dalam cuaca cerah dengan kehadiran lebih 100 ahli keluarga dan penduduk setempat.