Faezah Elai tegaskan tidak perlu pengesahan kongsi hantaran anak tiri

KUALA LUMPUR: Pelakon Faezah Elai menyelar segelintir netizen yang mempertikaikan tindakannya memuat naik hantaran mengenai anak-anak tirinya di media sosial. Beliau menegaskan tidak memerlukan pengesahan sesiapa untuk berkongsi mengenai mereka.
Menerusi hantaran di media sosial, Faezah atau nama sebenarnya Noor Faezah Md. Elai, 44, berkata tidak semua anak daripada pasangan yang bercerai dibesarkan oleh ibu kandung. Katanya, ada juga anak yang dijaga bapa dan ibu tiri, seperti dirinya.
Faezah berkata, tanggapan bahawa semua ibu tiri bersikap jahat adalah tidak tepat. Malah, ibu kandung kepada ketiga-tiga anak tirinya memberi kepercayaan kepadanya untuk menjaga mereka.
“Bukan semua orang yang bercerai, mak mereka yang jaga. Ada juga bapa mereka yang ambil mereka untuk jaga, yang besarkan mereka, mak tiri seperti saya,” katanya dalam sebuah video.
Beliau berkata, tanggungjawabnya termasuk menguruskan makan, pakaian dan persekolahan anak-anak itu. Justeru, katanya, dia tidak memerlukan pengesahan pihak lain untuk memuat naik hantaran mengenai mereka.
Faezah turut meminta orang ramai supaya tidak mencampuri urusan keluarganya. Katanya, ibu kandung anak-anak berkenaan tidak pernah menyuarakan rasa tersinggung kerana mengetahui beliau yang menjaga mereka.
“Mereka sendiri pun tak pernah sebut mereka anak tiri. Jadi, anda semua pula kena beritahu, kenapa nak tulis ‘anak perempuan saya’? Memang dia anak perempuan saya,” katanya.
Beliau juga menyindir pihak yang mengkritik tanpa usul periksa dan meminta mereka berfikir sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Kalau bercakap tu, pastikan otak sampai dulu baru mulut keluar cakap sebab kalau mulut pergi dulu nampak sangat tak berapa nak cerdik,” katanya.
Terdahulu, Faezah berkongsi berita bahawa anak perempuannya, yang dibesarkan sejak berusia 11 tahun, kini bergelar peguam menerusi hantaran di Instagram.