Takaful Malaysia pasang sistem solar di rumah Orang Asli

Kuala Lumpur: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) meneruskan usaha pemerkasaan komuniti dengan projek Project Sinar: Kampung Solar Initiative. Inisiatif itu dilaksanakan bagi memperluas akses kepada tenaga bersih dan mampan khususnya kepada komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman yang kurang mendapat kemudahan asas. Dalam projek itu, 14 rumah telah dipasang dengan sistem solar kediaman yang sebelum ini tidak mempunyai akses elektrik.
Pemasangan kemudahan tenaga boleh diperbaharui ini melibatkan komuniti di Kampung Ster, Kuala Medang, dekat Kuala Lipis, Pahang. Langkah itu memberi manfaat kepada kira-kira 70 penduduk daripada suku Semai di perkampungan berkenaan, bukan sekadar memudahkan urusan harian tetapi juga untuk memperkukuh daya tahan serta kesejahteraan komuniti setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal, berkata bekalan tenaga yang bersih penting untuk meningkatkan kualiti hidup dan menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat. Beliau menambah bahawa menerusi Project Sinar, pihaknya berharap komuniti Orang Asli setempat dapat menikmati tenaga yang lebih selamat dan mampan, sekaligus mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selesa serta produktif.
Kejayaan projek ini turut didorong oleh kerjasama strategik antara Takaful Malaysia dengan SOLS Foundation, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan wakil komuniti setempat. Bagi memastikan kelangsungan dan penggunaan sistem solar itu, inisiatif ini turut menyediakan sesi latihan asas kepada wakil komuniti mengenai penggunaan serta penyelenggaraan sistem.
Nor Azman turut mengulas bahawa dari segi impak kewangan, pemasangan sistem solar kediaman itu dijangka mampu menjimatkan kira-kira RM64,800 secara terkumpul bagi kesemua 14 isi rumah terbabit. Beliau menegaskan Project Sinar mencerminkan usaha berterusan Takaful Malaysia dalam mencipta impak sosial dan alam sekitar positif supaya komuniti di kawasan pedalaman tidak ketinggalan menikmati arus pembangunan serta sistem tenaga berdaya tahan.