Inspektor Sheila dibenar cabar pemecatan di Mahkamah Tinggi

Sumber: Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Bekas pegawai polis yang dikenali sebagai Inspektor Sheila dibenarkan memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bagi mencabar pemecatannya. Permohonan itu menamakan empat pihak, termasuk bekas Pengerusi Lembaga Tatatertib Polis Diraja Malaysia, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, sebagai responden.

Hakim S Indra Nehru membuat keputusan itu selepas Peguam Negara, yang diwakili Peguam Persekutuan Mohd Solihin Md Zaki, tidak membantah permohonan berkenaan. Mohd Solihin mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

Inspektor Sheila, atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, memfailkan permohonan secara sebelah pihak pada 29 Oktober lalu. Pemecatannya daripada jawatan berkenaan berkuat kuasa pada 3 Julai lalu.

Sheila, 38, memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan M Manoharan & Co. Selain Ayob Khan, pihak yang dinamakan sebagai responden ialah Lembaga Tatatertib Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia.

Dalam affidavit sokongan, Sheila mendakwa tidak diberikan peluang sewajarnya untuk membela diri sebelum keputusan pemecatan dibuat. Beliau memohon semakan kehakiman bagi mencabar keputusan berkenaan.

Menerusi permohonan itu, Sheila turut meminta Mahkamah Tinggi membatalkan dua keputusan tatatertib yang membawa kepada pemecatannya.