Taiwan yakin kekalkan kadar tarif 15 peratus dengan AS

TAIPEI: Taiwan yakin dapat mengekalkan kadar tarif sedia ada sebanyak 15 peratus bagi eksportnya ke Amerika Syarikat (AS), menurut kerajaan pada Khamis, selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan langkah tarif baharu yang menyasarkan 14 rakan dagang utama.
Pentadbiran Trump mencadangkan kadar tarif maksimum baharu antara 20 hingga 40 peratus untuk menangani lebihan kapasiti perindustrian yang didakwa didorong oleh negara terbabit. Bagaimanapun, Pejabat Wakil Perdagangan AS menyatakan hasrat untuk mengehadkan tarif baharu pada kadar lebih rendah yang dipersetujui dalam perjanjian perdagangan yang telah dimuktamadkan atau masih dirundingkan.
Taiwan dan AS menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama Pelaburan pada Januari serta Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) pada Februari tahun ini. Perjanjian itu memberikan layanan istimewa kepada semikonduktor dan produk teknologi lain, yang merangkumi lebih 70 peratus eksport Taiwan ke AS.
Kerajaan Taiwan berkata komunikasi antara kedua-dua pihak memberikannya keyakinan bahawa kadar 15 peratus yang dipersetujui sebelum ini akan dikekalkan. Tarif berasingan di bawah Seksyen 232 bagi semikonduktor dan produk terbitannya masih belum diumumkan.
Namun, Taiwan berkata ia sudah memperoleh layanan paling digemari terlebih dahulu melalui memorandum persefahaman berkenaan. Taiwan merupakan lokasi TSMC, pengeluar cip kontrak terbesar dunia, yang sedang melabur US$265 bilion untuk membina kilang baharu di AS.