Tiga tan syabu bernilai lebih RM70 juta diseludup melalui pangkalan TUDM

Sumber: Harian Metro
Tiga tan syabu bernilai lebih RM70 juta diseludup melalui pangkalan TUDM
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Syabu seberat tiga tan bernilai lebih RM70 juta dikenal pasti diseludup keluar melalui Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Tawau dan Labuan dalam tempoh dua tahun lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, kegiatan itu melibatkan 21 transaksi. Daripada jumlah berkenaan, tujuh transaksi dikesan melalui Pangkalan TUDM Tawau, manakala 14 lagi menerusi Pangkalan TUDM Labuan.

Menurutnya, tujuh transaksi dari Tawau membabitkan syabu seberat 1.8 tan yang dianggarkan bernilai RM9.3 juta.

“Di Labuan pula, sebanyak 14 transaksi sudah berlaku sejak Ogos 2024, membabitkan syabu seberat 1.2 tan dengan nilai RM63 juta,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Soalan itu meminta perincian hasil risikan serta maklum balas mengenai dakwaan sindiket penyeludupan dadah berkenaan sudah beroperasi untuk suatu tempoh yang lama.