Hong Kong kenang 168 korban kebakaran Wang Fuk Court

Sumber: Harian Metro
Hong Kong kenang 168 korban kebakaran Wang Fuk Court
Gambar: Harian Metro

HONG KONG: Penduduk meletakkan bunga berhampiran lokasi kebakaran Wang Fuk Court pada Khamis, genap setahun selepas tragedi yang memusnahkan tujuh blok pangsapuri dan meragut 168 nyawa. Kebakaran yang bermula pada petang 26 November 2025 itu berlarutan selama dua hari.

Api berwarna jingga dan asap hitam ketika kejadian dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer. Tragedi itu menjadi kebakaran kediaman paling dahsyat di dunia sejak 1980 serta bencana terburuk Hong Kong dalam tempoh lebih tujuh dekad.

Pada malam Rabu, ratusan orang menghadiri upacara memperingati mangsa di sebuah gereja di Hong Kong. Tangisan kedengaran ketika empat individu yang kehilangan ahli keluarga membacakan nama mangsa.

“Saya tidak lagi dapat bersama mereka. Kesakitan itu begitu mendalam di hati dan saya mengalami insomnia setiap malam,” kata Jenny Lam, seorang paderi yang kehilangan tiga ahli keluarganya.

Reverend Dominic Chan, yang mengetuai upacara di Katedral Katolik Immaculate Conception, berkata: “Mereka bukan sekadar angka, setiap seorang daripada mereka mempunyai kehidupan tersendiri yang unik.”

Beberapa rumah ibadat Katolik dan Buddha turut dijadualkan mengadakan acara keagamaan pada Khamis bagi mendoakan mangsa. Puluhan penduduk meletakkan bunga di kawasan kecil berhampiran lokasi kejadian yang dibenarkan, manakala orang ramai meneruskan penghormatan pada pagi Khamis dengan latar belakang bangunan yang masih hangus.

Pihak berkuasa tidak merancang upacara peringatan rasmi, namun beberapa institusi keagamaan mengadakan acara masing-masing. Pegawai kedua tertinggi kerajaan Hong Kong, Eric Chan, berkata kerajaan akan membantu penganjuran acara yang dijalankan secara sah, tetapi memberi amaran supaya tiada tindakan yang boleh mencetuskan kekacauan.

Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau kerajaan China turut memberi amaran minggu ini terhadap sebarang cubaan mencetuskan kekacauan atas alasan memperingati kejadian itu. Pejabat berkenaan menggesa penduduk berwaspada terhadap individu yang mempunyai agenda tersembunyi dan mungkin mencetuskan masalah.

Human Rights Watch mendakwa kerajaan Hong Kong menggunakan taktik Beijing untuk menyekat suara mangsa, selain hanya menjanjikan akauntabiliti yang sukar dicapai. Profesor politik Universiti Hong Kong, John Burns, memberitahu AFP bahawa ruang untuk orang ramai meluahkan kemarahan dan kritikan kini “jauh lebih sempit” berbanding sebelum Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara pada 2020.

Undang-undang itu diperkenalkan susulan demonstrasi besar-besaran pro-demokrasi yang kadangkala bertukar ganas. Kebakaran Wang Fuk Court mengejutkan 7.5 juta penduduk bandar itu, yang dianggap antara paling selamat di Asia.

Laporan siasatan yang diketuai hakim dan diterbitkan bulan lalu mendapati kebakaran itu berkemungkinan bermula daripada puntung rokok sebelum merebak dengan pantas melalui jaring pelindung pada bahagian luar bangunan. Pihak berkuasa mengakui tragedi itu mendedahkan kelemahan berpanjangan dalam peraturan dan penguatkuasaan.

Polis memberitahu AFP bahawa 40 individu sudah ditahan berhubung kejadian itu. Bulan lalu, Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, bersama beberapa menteri kabinetnya menundukkan badan sebagai tanda memohon maaf, manakala ketua jabatan perumahan meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, pakar pentadbiran awam, Sonny Lo, berkata tekanan masyarakat untuk menuntut akauntabiliti masih lemah susulan kelemahan pertubuhan masyarakat sivil, media dan badan perundangan. Dalam surat kepada wartawan pada Rabu, diplomat tertinggi Beijing di Hong Kong mengakui kejadian itu mendedahkan kelemahan penyelenggaraan bangunan dan peraturan keselamatan kebakaran, sambil berkata siasatan serta usaha pembaharuan sedang dijalankan.