Tiga tan syabu bernilai RM156 juta diseludup melalui pangkalan TUDM

KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga tan syabu bernilai RM156 juta dipercayai diseludup keluar melalui Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Tawau dan Labuan di Sabah sejak Ogos 2024, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kegiatan itu melibatkan 21 transaksi, dengan tujuh daripadanya dikesan melalui Pangkalan TUDM Tawau, manakala 14 lagi melalui Pangkalan TUDM Labuan.
Di Tawau, tujuh transaksi membabitkan 1.8 tan syabu bernilai RM93 juta. Sementara itu, 14 transaksi di Labuan sejak Ogos 2024 membabitkan 1.2 tan dadah itu, dianggarkan bernilai RM63 juta.
Saifuddin Nasution berkata jumlah syabu berkenaan dianggarkan boleh membekalkan dadah kepada 15 juta individu jika digunakan pada kadar 0.02 gram bagi setiap penggunaan. Jika diambil pada kadar 0.05 gram sekali guna, yang dipercayai memberikan kesan lebih kuat, jumlah itu boleh menampung enam juta individu.
“Bayangkan kalau kita tidak lumpuhkan kegiatan ini, mangsanya mencecah jutaan orang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara), yang meminta perincian hasil risikan serta perkembangan dakwaan sindiket penyeludupan itu sudah beroperasi sejak sekian lama.
Beliau turut menghargai usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia, dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, dalam membanteras sindiket berkenaan.
Dalam perkembangan siasatan, identiti ketua sindiket yang masih bebas sudah dikenal pasti. Kegiatan itu juga dipercayai membabitkan beberapa individu, termasuk mereka yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat. Sebahagian anggota sindiket sudah ditahan, manakala baki yang masih bebas dijangka diberkas dalam tempoh terdekat.
Saifuddin Nasution berkata, siasatan akan mengenal pasti peranan 13 tahanan, terdiri daripada tujuh anggota TUDM dan enam orang awam. Siasatan awal turut mendapati sindiket itu sudah lama bertapak, dengan sebahagian ahlinya pernah ditangkap, didakwa dan dipenjarakan, manakala yang lain masih bebas.
Beliau berkata sindiket itu mengaut keuntungan besar, dengan satu kilogram syabu bernilai RM50,000 bagi pasaran domestik, RM250,000 di Indonesia dan RM450,000 untuk pasaran antarabangsa. Siasatan yang diperluas, katanya, berpotensi mendedahkan rangkaian jenayah terancang lebih besar.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran), beliau memberi jaminan bahawa sesiapa yang ditahan tidak akan terlepas daripada tindakan, tanpa mengira jawatan atau kedudukan.
Bagi soalan asal, Saifuddin Nasution berkata siasatan awal mengenal pasti pembabitan individu yang mempunyai akses dan hubungan dengan anggota serta operasi penerbangan tentera. Keadaan itu dipercayai membuka ruang kepada sindiket menggunakan kemudahan TUDM untuk menyeludup dadah.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). Skop siasatan akan diperluas bagi mengenal pasti peranan setiap individu, termasuk pembiaya, perancang, pengangkut dan penghantar.