Sulaiman mahu kebajikan jurulatih tempatan terus terbela

Sumber: Harian Metro
Sulaiman mahu kebajikan jurulatih tempatan terus terbela
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Memperjuangkan kebajikan jurulatih bola sepak tempatan dan memastikan suara mereka mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi antara agenda calon Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Sulaiman Hussin, menjelang kongres pemilihan badan itu Sabtu ini.

Sulaiman, yang berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan dan lama berkhidmat sebagai Exco PJBM, mahu persatuan itu memainkan peranan lebih besar dalam membela penggiat kejurulatihan. Beliau juga bekas pemain Kuala Lumpur (KL) dan pernah mengendalikan beberapa pasukan.

Selain itu, beliau pernah menjadi Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA). Terbaharu, Kuching City FC mendapatkan khidmatnya sebagai Pengarah Teknikal bagi membantu memperkasakan pembangunan bola sepak di Sarawak.

Menurut Sulaiman, antara isu yang mahu diberi perhatian ialah tunggakan gaji jurulatih bersama kelab, kebajikan mereka yang ditimpa musibah dan bantuan kepada jurulatih yang menghadapi masalah kesihatan.

“Saya mahu melihat PJBM terus berusaha membantu jurulatih yang berdepan masalah pembayaran gaji dengan kelab masing-masing, selain menjaga kebajikan mereka yang ditimpa musibah atau berdepan masalah kesihatan.

“PJBM juga perlu menjadi jambatan antara jurulatih dengan FAM supaya segala permasalahan di peringkat bawah dapat disampaikan dan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau turut menegaskan aktiviti dan seminar perlu diteruskan setiap tahun bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta kualiti kejurulatihan di negara ini. PJBM, katanya, juga perlu mempergiat usaha membantu jurulatih akar umbi yang memainkan peranan penting mencungkil dan membangunkan pemain berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, termasuk mewakili pasukan kebangsaan.

Sulaiman turut mencadangkan insentif diperkenalkan kepada jurulatih yang mahu meningkatkan kelayakan, khususnya untuk mendapatkan lesen A dan Pro. Beliau berkata jurulatih yang ingin menikmati kemudahan atau insentif itu perlu menjadi ahli PJBM yang aktif.

“Sebagai galakan, mereka yang ingin menikmati kemudahan atau insentif berkenaan perlu menjadi ahli PJBM yang aktif supaya hubungan antara persatuan dengan jurulatih dapat terus diperkukuhkan,” katanya.