Kajian rekod 356 paderi Itali dituduh melakukan penderaan seksual

ROME: Gereja Katolik Itali menerima aduan terhadap 356 anggota paderi yang dituduh melakukan penderaan seksual antara 2001 hingga 2021, menurut laporan separa yang diterbitkan pada Rabu.
Kajian oleh penyelidik Universiti Bologna dan Innocenti Institute di Florence itu mendapati kes berkenaan membabitkan 385 mangsa. Seramai 123 anggota paderi berdepan prosiding di mahkamah Itali, manakala 166 keputusan kehakiman direkodkan. Daripada jumlah itu, 57 berakhir dengan hukuman penjara muktamad. Kajian tersebut tidak menentukan sama ada sesetengah anggota paderi menerima lebih daripada satu sabitan.
Tujuh daripada setiap 10 mangsa ialah kanak-kanak lelaki, kebanyakannya berusia antara 11 hingga 17 tahun. Kes dilaporkan di lebih separuh daripada 226 keuskupan di Itali. Beberapa keuskupan tidak menyertai kajian itu, manakala 65 melaporkan tiada kes yang diketahui sepanjang tempoh berkenaan.
Kajian itu merupakan penyiasatan seluruh negara pertama yang ditugaskan oleh Gereja Katolik Itali mengenai penderaan seksual terhadap kanak-kanak oleh anggota paderi. Ia dilakukan beberapa tahun selepas siasatan seumpama itu dijalankan di Perancis, Jerman dan Switzerland.
Laporan itu turut menyatakan 218 daripada 356 anggota paderi yang dituduh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Gereja. Ketua Persidangan Uskup Itali, Cardinal Matteo Zuppi, berkata jenayah itu menunjukkan kejahatan yang telah melanda Gereja dan perlu dinamakan serta diakui kekejamannya.
“Memahami fenomena ini membantu kita campur tangan apabila perlu,” katanya, sambil menegaskan bahawa Gereja mahu menjadi tempat yang selamat.