Steven Sim kenang A Samad Said menerusi puisi judul karya sasterawan

Sumber: Sinar Harian

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, memberi penghormatan kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri A Samad Said dengan berkongsi puisi yang menggabungkan judul karya tokoh kesusasteraan itu menerusi hantaran Facebook pada Khamis malam.

Steven berkata, rangkap pertama puisi itu ditulis pada 2015 ketika Allahyarham, yang mesra disapa Pak Samad, menyertai DAP. Empat rangkap selebihnya pula dihasilkan pada 2017.

“Terima kasih Pak Samad kerana mengajar bukan sahaja dengan kata-kata malah mengajar dengan teladan jiwa hidupmu bahawa sastera dan siasah berpisah tiada.

“Semoga tenang di sana Bapak,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu turut memuat naik gambar kenangannya bersama Allahyarham. Puisi lima rangkap berkenaan menyelitkan judul karya antaranya *Langit Petang*, *Suara Rasa*, *Daun Berguguran* dan *Wira Bukit*.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 petang Selasa di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada usia 91 tahun. Beliau dimasukkan ke hospital pada petang Isnin akibat sakit tua dan turut menghidap diabetes.

Dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, Allahyarham diangkat sebagai Sasterawan Negara keempat pada 1985. Sepanjang kerjaya penulisannya, beliau menghasilkan novel, puisi, drama, cerpen dan esei.

Antara karya terkenalnya ialah *Salina*, *Sungai Mengalir Lesu*, *Di Hadapan Pulau*, *Langit Petang*, *Hujan Pagi* dan *Lantai T. Pinkie*. *Salina* diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa, termasuk bahasa Inggeris dan Perancis, manakala beberapa karyanya yang lain diadaptasi ke pentas teater dan drama.

Sumbangan Allahyarham dalam kesusasteraan menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, SEA Write Award pada 1979 dan Anugerah Sastera Negara pada 1985. Beliau turut menerima Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 1997.