SPRM nafi amalan siasatan dua darjat

Sumber: Astro Awani
SPRM nafi amalan siasatan dua darjat
Gambar: Astro Awani

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menolak dakwaan bahawa suruhanjaya itu mengamalkan siasatan secara dua darjat, termasuk dalam kes yang melibatkan sebuah kementerian.

Dalam kenyataan, SPRM menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan berkata ia tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan suruhanjaya dalam menjalankan siasatan.

SPRM memaklumkan siasatan berhubung perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang melibatkan sebuah kementerian dimulakan pada 7 Okt lepas. Setakat ini, percakapan 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dirakam bagi membantu siasatan.

Siasatan masih berjalan, manakala SPRM sedang meneliti maklumat serta keterangan yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek perkara itu disiasat secara menyeluruh.

Menurut kenyataan itu, SPRM menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran. Bagaimanapun, suruhanjaya itu berkata dakwaan atau kenyataan perlu berlandaskan fakta sahih dan disampaikan secara bertanggungjawab, bukan berdasarkan persepsi atau andaian.

SPRM turut menegaskan setiap siasatan dilaksanakan berasaskan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang individu. Suruhanjaya itu berkata ia kekal komited menjalankan tanggungjawab secara profesional, bebas, adil dan telus demi memelihara kedaulatan undang-undang.

Semalam, media melaporkan Penasihat DAP Lim Guan Eng mendakwa SPRM mengamalkan sikap “dua darjat” ketika menyiasat kontroversi pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), serta isu perbelanjaan berlebihan RM2.1 bilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).