Speedy Tigress sasar tempat ke final dengan cabar India

BHOPAL: Skuad hoki wanita negara akan berdepan juara bertahan India dalam aksi separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 esok, selepas melangkah ke kelompok empat terbaik kejohanan.
Malaysia mara ke separuh akhir dengan kemenangan 4-0 ke atas Thailand dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Kejayaan itu juga menyaksikan skuad negara buat pertama kali berada dalam kelompok empat terbaik Asia sepanjang kendalian ketua jurulatih, CR Kumar.
Semua gol Malaysia dijaringkan dalam lima minit terakhir. Nuramirah Syakirah Zulkifli meledak dua gol pada minit ke-55 dan ke-60, manakala Nur Afiqah Syahzani Azhar turut mencatat dua jaringan pada minit ke-56 dan ke-60.
Kumar berkata beliau gembira dengan aksi pemain, terutama dalam 10 minit terakhir, tetapi mahu mereka mengekalkan permainan agresif sejak permulaan perlawanan.
“Menerusi kemenangan ini, kami berjaya melangkah ke separuh akhir. Saya amat gembira dengan persembahan pemain dalam tempoh 10 minit terakhir.
“Jika bermain dengan corak agresif yang sama sejak awal perlawanan, mereka mampu melakukan sesuatu yang lebih baik. Saya harap mereka dapat memulakan permainan dengan pendekatan sama dalam aksi seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun, Kumar mengingatkan pemain supaya tidak terlalu selesa dengan kemaraan itu. Beliau menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai sebahagian proses pembangunan skuad yang masih perlu belajar dan memperbaiki kelemahan.
Katanya, pengalaman menentang pasukan terbaik Asia sepanjang kejohanan menjadi bekalan penting bagi pemain meningkatkan mutu permainan menjelang pertemuan dengan India, yang menawarkan cabaran berbeza.
“Siapa sahaja lawan yang bakal dihadapi, kami tetap perlu turun beraksi. Kedudukan atau ranking bukan perkara utama, sebaliknya kami perlu memberikan yang terbaik.
“Saya berharap suatu hari nanti pemain-pemain ini mampu beraksi jauh lebih baik berbanding tahap mereka sekarang,” katanya.
Malaysia pernah meraih tempat ketiga pada ACT 2013 di Kakamigahara, Jepun, yang kekal sebagai pencapaian terbaik negara dalam kejohanan itu. Pertemuan dengan India memberi peluang kepada skuad negara menguji kemampuan dan menunjukkan kemajuan mereka.