FCC luluskan rancangan SpaceX lancar sehingga sejuta satelit

WASHINGTON: SpaceX mendapat kelulusan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) Amerika Syarikat (AS) pada Rabu untuk melancarkan sehingga sejuta satelit ke orbit Bumi bagi membina pusat data di angkasa lepas, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).
Projek syarikat itu, yang dinamakan “Starmind”, bertujuan menyokong aplikasi kecerdasan buatan (AI). Pengerusi FCC, Brendan Carr, berkata pemindahan kapasiti pengkomputeran ke luar Bumi merupakan cabaran semasa yang turut diusahakan SpaceX dan pesaingnya yang sedang membangunkan pusat data masing-masing di orbit.
Penyokong konsep itu berpendapat pusat data di angkasa boleh menggunakan tenaga suria dan memanfaatkan potensi penyejukan di persekitaran berkenaan. Kelulusan FCC membuka laluan kepada pelaksanaan rancangan yang menjadi fokus utama pembentangan Elon Musk, pemilik SpaceX, ketika tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.
Namun, pembinaan pusat data di angkasa berdepan cabaran teknikal yang besar. Antaranya ialah keperluan panel suria bersaiz besar untuk menghasilkan tenaga elektrik, sistem penyejukan canggih dan teknologi untuk menghantar sejumlah besar data kembali ke Bumi.
Syarat kelulusan FCC menetapkan SpaceX perlu menempatkan 10 peratus daripada jumlah maksimum satelit yang dibenarkan menjelang November 2035. Jumlah itu perlu mencapai 50 peratus menjelang November 2038.