SpaceX dapat kelulusan lancar sehingga sejuta satelit untuk pusat data AI

Sumber: Astro Awani
SpaceX dapat kelulusan lancar sehingga sejuta satelit untuk pusat data AI
Gambar: Astro Awani

WASHINGTON: SpaceX mendapat kelulusan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) Amerika Syarikat (AS) untuk melancarkan sehingga sejuta satelit ke orbit Bumi bagi membangunkan pusat data di angkasa lepas untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI). FCC mengumumkan kelulusan projek yang dinamakan “Starmind” itu pada Rabu, menurut Agensi Berita Jerman (dpa).

Pengerusi FCC, Brendan Carr, berkata pemindahan kapasiti pengkomputeran ke luar Bumi ialah usaha yang kini turut diterokai SpaceX dan pesaingnya yang sedang membangunkan pusat data di orbit.

“Dengan memindahkan kapasiti pengkomputeran ke luar Bumi, SpaceX dan banyak pesaingnya yang sedang membangunkan pusat data masing-masing di orbit kini menyahut cabaran semasa,” katanya.

Penyokong pusat data di angkasa lepas berpendapat kemudahan itu boleh menggunakan tenaga suria dan memanfaatkan potensi penyejukan di angkasa. Kelulusan FCC membuka jalan kepada pelaksanaan konsep yang menjadi fokus utama pembentangan Elon Musk, pemilik SpaceX, ketika tawaran awam pemula (IPO) syarikat itu.

Namun, pembangunan pusat data berkenaan berdepan cabaran teknikal yang besar. Antara keperluan yang dinyatakan ialah panel suria bersaiz besar untuk menjana elektrik, sistem penyejukan canggih serta teknologi untuk menghantar sejumlah besar data kembali ke Bumi.

Di bawah syarat kelulusan FCC, SpaceX perlu menempatkan 10 peratus daripada jumlah maksimum satelit yang dibenarkan menjelang November 2035. Jumlah satelit yang ditempatkan perlu meningkat kepada 50 peratus menjelang November 2038.