SpaceX dibenar lancar sehingga sejuta satelit AI

SpaceX menerima kelulusan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan Amerika Syarikat (FCC) pada Rabu untuk melancarkan sehingga sejuta satelit ke orbit Bumi bagi membangunkan pusat data berasaskan angkasa untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI).
FCC berkata projek syarikat itu, yang dinamakan ‘Starmind’, mendapat kebenaran berkenaan. Pengerusi FCC, Brendan Carr, berkata SpaceX dan syarikat lain yang sedang membangunkan pusat data orbit memenuhi keperluan semasa dengan memindahkan kapasiti pengkomputeran ke luar Bumi.
Penyokong pusat data di angkasa berpendapat kemudahan itu boleh memanfaatkan bekalan tenaga solar yang banyak serta peluang untuk penyejukan di angkasa. Kelulusan itu membuka laluan kepada konsep yang dijadikan tumpuan oleh pemilik SpaceX, Elon Musk, dalam pembentangannya sempena tawaran awam permulaan syarikat itu.
Bagaimanapun, pembinaan pusat data di angkasa berdepan cabaran teknikal yang besar. Antaranya ialah keperluan panel solar bersaiz besar untuk menjana elektrik, sistem penyejukan canggih serta teknologi yang mampu menghantar jumlah data yang sangat besar kembali ke Bumi.
Mengikut syarat kelulusan FCC, SpaceX perlu melancarkan 10 peratus daripada jumlah maksimum satelit yang dibenarkan menjelang November 2035. Jumlah itu perlu meningkat kepada 50 peratus menjelang November 2038.