Mahkamah tertinggi Korea Selatan kekalkan pembebasan Yoon daripada tuduhan sumpah bohong

SEOUL: Mahkamah tertinggi Korea Selatan pada Khamis mengekalkan pembebasan bekas Presiden Yoon Suk-yeol daripada tuduhan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan pemberontakan membabitkan bekas Perdana Menteri Han Duck-soo.
Mahkamah Agung memuktamadkan keputusan pembebasan itu dan menolak rayuan pasukan Cho Eun-suk, peguam bebas yang mengetuai siasatan terhadap Yoon berhubung dakwaan pemberontakan dan pertuduhan lain.
Pasukan pendakwa khas sebelum ini memohon hukuman penjara dua tahun pada perbicaraan pertama. Dalam rayuan, pasukan itu meminta Yoon dikenakan denda 10 juta won, bersamaan kira-kira US$7,460.
Yoon didakwa pada Disember 2025 kerana memberikan keterangan palsu pada bulan sebelumnya ketika perbicaraan Han. Bekas perdana menteri itu berdepan pertuduhan membantu dan bersubahat dengan individu yang mengetuai pemberontakan.
Dalam perbicaraan itu, Yoon berkata beliau sudah merancang untuk mengadakan mesyuarat Kabinet dan memanggil anggota Kabinet tambahan sebelum Han membuat saranan pada 3 Disember 2024. Pada hari itu, Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera darurat, yang kemudian dibatalkan oleh Perhimpunan Kebangsaan.
Pasukan pendakwa khas berhujah Yoon pada awalnya tidak berniat mengadakan mesyuarat rasmi Kabinet. Menurut pasukan itu, beliau hanya memanggil enam anggota Kabinet, sebelum mengundang enam lagi selepas menerima nasihat Han.