Ujian sistem amaran awal (EWS) dijadual di Bangunan Parlimen 23 Nov, ujian nasional 29 Nov

Sumber: Astro Awani
Ujian sistem amaran awal (EWS) dijadual di Bangunan Parlimen 23 Nov, ujian nasional 29 Nov
Gambar: Astro Awani

PUTRAJAYA: Ujian simulasi sistem amaran kecemasan negara (EWS) akan dijalankan di kawasan Bangunan Parlimen pada 23 November ini, sebelum ujian secara serentak dilaksanakan di seluruh negara pada 29 November. Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan hebahan menerusi Khidmat Pesanan Masyarakat (PSA) bagi memberi penerangan mengenai bentuk mesej serta bunyi amaran yang bakal diterima pengguna telefon bimbit.

Beliau menjelaskan tujuan ujian simulasi itu ialah untuk memastikan orang ramai memahami bahawa notifikasi berkenaan adalah sebahagian daripada proses pengujian sistem dan bukan amaran kecemasan sebenar. Katanya, mesej atau khidmat pesanan masyarakat juga akan disampaikan dalam semua pawagam, di semua televisyen dan radio, serta akan bekerjasama dengan pempengaruh dan platform seperti TikTok bagi meningkatkan kesedaran mengenai pelaksanaan EWS.

Fahmi berkata pelaksanaan EWS tidak memerlukan pengguna memuat turun atau memasang sebarang aplikasi kerana sistem itu akan berkomunikasi secara terus dengan telefon bimbit yang menyokong penerimaan amaran berkenaan. Beliau menegaskan sistem itu berfungsi sebagai pelengkap kepada kaedah penyampaian amaran sedia ada, termasuk SMS dan siren yang dipasang di sepanjang sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurut beliau, EWS bukan sekadar digunakan untuk amaran bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan gempa bumi, tetapi juga berpotensi dimanfaatkan bagi tujuan keselamatan dan ketenteraman awam. Sistem ini bersifat berasaskan lokasi geografi; jika berlaku di satu kawasan, maklumat akan disampaikan kepada semua yang berada dalam kawasan itu, walaupun siaran itu lebih umum.

Mengulas penyebaran mesej amaran banjir melalui WhatsApp baru-baru ini, Fahmi menjelaskan bahawa mesej berkenaan bukan sebahagian daripada pelaksanaan EWS kerana sistem itu menggunakan paparan pop-up dan bukannya SMS atau WhatsApp. Beliau menegaskan fokus utama ialah paparan pop-up yang akan dipaparkan kepada telefon bimbit.