SIRIM QAS badan pertama di Asia Tenggara diakreditasi bagi standard AS9110

Sumber: Astro Awani
SIRIM QAS badan pertama di Asia Tenggara diakreditasi bagi standard AS9110
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: SIRIM QAS International Sdn Bhd, anak syarikat SIRIM Bhd, menjadi badan pensijilan pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang mendapat akreditasi bagi standard AS9110, iaitu Sistem Pengurusan Kualiti bagi organisasi penyelenggaraan penerbangan.

Akreditasi itu membolehkan organisasi yang memenuhi syarat mendapatkan pensijilan bertauliah menerusi SIRIM QAS International. Menurut SIRIM, organisasi berkenaan termasuk penyedia perkhidmatan penyelenggaraan pesawat dan helikopter, kemudahan baik pulih enjin, organisasi pembaikan komponen dan avionik serta penyedia perkhidmatan penyelenggaraan penerbangan pertahanan.

AS9110 ialah standard antarabangsa untuk organisasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan. Ia menetapkan keperluan berkaitan kelayakan terbang dan keselamatan penerbangan, perancangan serta pelaksanaan penyelenggaraan, pemeriksaan dan pengujian, pengurusan risiko, faktor manusia, kebolehkesanan dan kawalan data teknikal.

SIRIM berkata standard itu melengkapi peraturan penerbangan yang ditadbir badan berkuasa berkaitan, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA). Weststar Aviation Services Sdn Bhd dan Pecca Aviation Services Sdn Bhd antara syarikat yang memperoleh pensijilan di bawah Sistem Pengurusan Kualiti Aeroangkasa itu.

Pengerusi SIRIM, Datuk Khairol Anuar Mohamad, berkata pencapaian itu akan memperkukuh keupayaan penilaian pematuhan Malaysia dan menyediakan laluan pensijilan bertauliah untuk organisasi MRO yang layak. Usaha itu, katanya, selaras dengan keperluan pengurusan kualiti aeroangkasa yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata komponen, prosedur penyelenggaraan dan proses operasi perlu mematuhi keperluan teknikal yang ketat. Kegagalan dari segi kualiti, katanya, bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian komersial, malah berpotensi menjejaskan keselamatan operasi dan keyakinan orang ramai.

“Bagi syarikat Malaysia yang berhasrat menjadi pembekal kepada pengeluar dan pengendali aeroangkasa utama antarabangsa, pematuhan terhadap keperluan ini semakin penting,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis SIRIM Industri 2026 di sini malam tadi.

Khairol Anuar berkata pematuhan kepada standard aeroangkasa antarabangsa membuktikan kecekapan teknikal, meningkatkan keyakinan pelanggan dan mengukuhkan penyertaan syarikat dalam rantaian bekalan antarabangsa yang tertakluk kepada kawal selia ketat. Keupayaan pensijilan domestik juga boleh memperluas akses kepada perkhidmatan penilaian khusus, menyokong pembangunan kepakaran teknikal tempatan dan mengurangkan kebergantungan syarikat Malaysia kepada penyedia perkhidmatan luar negara.

Beliau menggalakkan SIRIM memperluas keupayaan pensijilan, pengujian dan teknikal berkaitan aeroangkasa, sambil memastikan perkhidmatan pensijilan kekal selaras dengan perkembangan standard antarabangsa, kemajuan teknologi dan keperluan industri. Beliau turut menggesa penyedia MRO dan pengeluar aeroangkasa Malaysia melabur dalam pembangunan tenaga kerja mahir, pendigitalan, penambahbaikan proses dan amalan penyelenggaraan canggih.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Malaysia telah mengukuhkan kedudukan sebagai pemain serantau yang berdaya saing dalam sektor MRO. Namun, katanya, masih banyak peluang untuk memperluas kegiatan sektor itu daripada penyelenggaraan pesawat konvensional kepada bidang khusus bernilai tinggi, termasuk pembaikan enjin dan komponen.

“Kita perlu membangunkan ekosistem syarikat Malaysia yang mempunyai keupayaan sehingga menjadi rakan penting dalam rantaian bekalan aeroangkasa global,” katanya dalam ucaptama pada majlis berkenaan.

Pada 2025, SIRIM QAS International menyediakan perkhidmatan kepada lebih 7,000 pelanggan menerusi Skim Pensijilan Sistem Pengurusan dan mengeluarkan 653 sijil baharu. Dalam pada itu, enam syarikat menerima pengiktirafan menerusi skim Pengurusan Lean dan Green 5S oleh SIRIM Academy.